Sabtu, 4 Jun 2011

Empat Pesanan

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini menghirup udara sejuk (kerana hendak hujan di luar) di Melaka ni, mewujudkan perasaan senang dan minda yang tenang untuk menulis perkongsian motivasi. Lama-lama ditinggalkan nanti otak berhabuk, parah juga. Hidup ini bukan semudah yang disangka yang kita boleh redah saja tanpa pemantapan jiwa dan rohani. Jadi, terus-teruslah memberi santapan motivasi buat diri agar terus tenang mengemudi perjalanan di atas Bumi Allah ini.

Baru-baru ini pelajar-pelajar MMU dikejutkan dengan berita 'Result Exam dah keluar!'.hehe. Ada yang mendapat serangan jantung, ada yang gembira bukan kepalang, ada yang bermuram durja, ada yang tiada perasaan dan bermacam-macam lagi. Untunglah untuk saya yang tergolong dalam golongan 'tiada perasaan' kerana tidak menduduki peperiksaan atas sebab menjalani Legal Attachment. hehe.

Apa-apapun, penulisan kali ini untuk peringatan diri sendiri, memotivasikan diri sendiri. Kalau ada pembaca lain yang beroleh manfaat melalui penulisan ini, lebih baik. Alhamdulillah. Syukur.

Pesanan 1: Sabar itu Indah

Kadang-kadang kita rasa kita dah lakukan yang terbaik, sehabis baik dah. Tapi nasib tidak menyebelahi kita, barangkali. Maka kita menempuhi kegagalan sekali lagi. Walhal telah diletakkan usaha yang berlipat kali ganda, study bagai nak gila, 48 jam tak tidur, dan sebagainya. Tapi masih tak berjaya. Salah siapa agaknya?

Pertama sekali, janganlah kita menyalahkan siapa-siapa atau cuba berkata, "Aku fail subject ni sebab lecturer tu gila!" atau "Program itu dan ini punca aku fail!" atau "Ni pasal assignment group mcm haram lah ni, kan aku dah fail!" dan sebagainya. Biasalah, bila tidak mendapat sesuatu yg kita harapkan, mesti kita kecewa, sedih, murung dan sebagainya. Tapi jangan terlalu lama melayan perasaan. Istighfar banyak-banyak. Muhasabah diri, perbaiki kelemahan dan jangan pernah putus asa.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan SABAR itu laksana sinar matahari." (Riwayat Muslim)

Sabar itu bukan perkara yang mudah untuk kita laksanakan atau jalankan. Nak menjalankan misi 'menjadi orang sabar' ni, memang sangat menduga. Kita mudah rasa banyak benar kesulitan dan cabaran dalam bersabar, kita mudah rasa penat dalam bersabar. Sebab itulah ramai antara kita bila dah mula rasa penat dalam bersabar, kita akan kata "Aku dah tak boleh nak sabar lagi dah!" atau "Aku dah penat bersabar dengan itu/ini!" dan sebagainya.

Sabar itu bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan emosi, menahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah. (Sumber: Solusi. Isu; 31). 

Jadi betullah bila dapat result exam yang mengecewakan ni, kalau kita tak sabar, kita mudah resah gelisah, rasa nak emosi memanjang. Yang lelaki pun boleh jadi 'datang bulan' dek dugaan begini. Yang perempuan bermuram durja, terperap dalam bilik. Kecewa bukan kepalang. Silap hari bulan kalau ada yang banyak tanya terus kena maki. Wrong timing katanya. Itulah cabarannya dalam mendidik diri untuk bersabar. Kalau tak sabar, kita gagallah menahan lisan kita daripada mengeluh. Mulalah kata, "Allah ni tak adillah bagi aku keputusan macam ni.." dan sebagainya. Lagi teruk kalau ada yang terfikir untuk buat perkara-perkara pelik contohnya bunuh diri. Nauzubillah. Tapi di Malaysia ini ada juga ya kes bunuh diri kerana keputusan peperiksaan yang mengecewakan. Moga Allah jauhkan diri kita dari semua tu.

Kenapa sabar itu diibaratkan seperti 'sinar matahari'? Kalau kita lihat, matahari ni panas betul kan? Kalau kulit sensitif mcm Michael Jackson tu memang cairlah mukanya dek penangan sinar matahari. Berpeluh-peluh kita mengharungi teriknya panas mentari. Tetapi kita tetap perlukannya sebagai sumber cahaya, kalau tak gelap gelita dunia kita. Kita perlukan matahari untuk hidup, untuk tanam-tanaman kita hidup, haiwan ternakan hidup dan sebagainya. Maka sebab itulah sabar itu diibaratkan seperti sinar matahari, walaupun bersusah payah terpaksa menghadapi teriknya ia, tapi kita tetap perlukannya. Kan?
Sabarlah bila ditimpa musibah ye, kawan-kawan.
Sumber: Google Image

Semua dugaan Allah terselit hikmah disebaliknya. Cuma mungkin atas kelemahan kita sebagai manusia yang mudah alpa, mudah mengeluh, selalunya kita tidak nampak apa hikmahnya. Tapi lama-lama bila kita semakin tenang, jiwa tidak lagi berombak resah, lepas satu persatu nikmat yang Allah turunkan untuk kita, baru kita nampak. Contohnya, kalau saya tidak menemui zaman kejatuhan di Matrikulasi dulu, mesti saya tak datang ke MMU ini dan bertemu dengan insan-insan hebat di bumi MMU ini. Kan? *angkat-angkat kening*

Pesanan 2: Buka Hatimu

Dalam hidup ini, kita perlu selalu buka hati kita untuk menerima sesuatu. Sama ada baru atau lama, baik atau buruk, mudah atau senang, manis atau pahit, cantik atau hodoh, dan sebagainya. Bila kita buka hati kita dalam menerima dan menghadapi sesuatu, maka akan kuranglah tekanan kita dalam menerimanya.

Contohnya dalam bersahabat, kalau kita tidak buka hati kita untuk menerima orang baru mendampingi kita sebagai seorang sahabat, maka tidak bersahabat baru lah kita. Tapi bila kita buka hati kita untuk menerima orang baru dalam hidup kita, jadi kita beroleh sahabat baru. Kan?
Ambillah kunci, bukalah hati.hehe
Sumber: Google Image juga.

Dalam menghadapi dugaan dan cabaran pun begitu juga. Khususnya dalam pelajaran, bila sesuatu yang diharapkan tidak berjaya dikecapi, bukalah pintu hati kita seluas-luasnya untuk menerima hakikat keadaan itu. Jika tidak, kita akan murung, memberontak, dan sebagainya. Akibatnya? Membahayakan diri kita sendiri. Buka hati kita untuk redha dalam aturan hidup kita yang telah Allah susun. Ingatlah, tanggungjawab kita untuk meletakkan usaha sebaiknya di jalan Allah. Selebihnya, serahkan pada Allah. Jika baik, alhamdulillah. Jika tidak, redhalah. Kerana itu yang terbaik untuk kita di mata Allah.

Dalam kehidupan ini kalau kita peka dengan dunia sekeliling, kita pasti nampak bezanya antara orang yang mudah terima hakikat dan sukar menerima hakikat. Ada sesetengah orang, bila dapat keputusan yang kurang baik, mereka akan menangis, meraung, cuba bunuh diri, lari dari kawan-kawan, tidak mahu makan, dan sebagainya. Ini adalah dari kalangan orang yang sukar menerima hakikat. Kenapa? Kerana mereka gagal untuk buka hati mereka dalam menerima sesuatu yang baru. Berat rasanya kan?

Ada juga golongan yang tenang saja bila mendapat keputusan sungguhpun keputusan itu mengecewakan. Makan masih berselera macam biasa, masih bertemu kawan-kawan macam biasa, tiada terfikir langsung untuk membunuh diri, masih mampu mengukir senyum. Paling tak pun mereka akan kata, "Tak apa lah. Nak buat macam mana, tak ada rezeki." Baguslah kalau kita dari kalangan yang ini. Kita jangan jadi mudah memberontak tetapi ajarlah diri kita untuk buka hati, pasrah dan redha dengan pilihan Allah asalkan kita telah meletakkan usaha yang sebaiknya. Jangan pula usaha tak kemana, pasrah nya yang lebih. Ini tak betul juga.

Allah itu Tuhan yang Maha Mengetahui. Kalau Dia tidak menganugerahkan kita dengan sesuatu yang kita harapkan hari ini, ianya adalah kerana Dia tahu bahawa ada yang lebih baik menunggu kita di masa hadapan. Insyaallah. Yakinlah dengan Allah. Buka hati kita!

Pesanan 3: 'Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat'

Sebiji epal.

Kalau saya beri kamu sebiji epal, apa yang dapat kamu lihat di sebalik sebiji epal ini? 

Kalau kamu lihat ianya boleh dimakan begitu saja, maka apa yang kamu dapat adalah buah epal untuk dimakan begitu saja. 
Jika kamu lihat ianya sebagai sesuatu yang boleh menghilangkan dahaga, maka kamu akan mendapat ia sebagai jus epal. 
Jika kamu lihat epal ini sebagai satu makanan yang enak, maka kamu boleh buat ia menjadi Pie Apple yang enak malah jika kamu melihat sebiji epal sebagai senjata menyerang musuh, maka tidak mustahil untuk kamu membalingnya tepat mengenai kepala musuh untuk melemahkan pergerakan musuh. 
Jadi, cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat. Kan?

Seorang adik berkongsi perasaan menyatakan dilemanya dia bila mana memikirkan 'layakkah aku untuk berada dalam golongan mereka yang bagus-bagus belaka sedangkan pelajaran aku kian merosot?'. Soalan saya, 'kenapa pula tidak layak?'

Allah nak turunkan kita dengan pelbagai kehebatan dunia, Dia pasti turunkan kita dahulu dengan ujian dunia yang sangat menduga. Dia mahu beri kita kefahaman agama, Dia pasti berikan jentikan demi jentikan pada fikiran agar kita bertanya sendiri mengapa hukum itu begini dan begitu. Kerana sesudah mengutarakan soalan, kita beroleh jawapan dan nah! Kefahaman agama milik kita.

Allah nak turunkan kita dengan rasa ketaatan pada Dia, Dia pasti duga kita satu demi satu. Dengan mengizinkan syaitan berbisik, hasutan demi hasutan. Dengan menemukan kita dengan pelbagai manusia yang berlainan warna iman, berlainan gaya hidup dan sebagainya.

Allah mahu berikan kita kejayaan, pasti Dia uji kita dengan ujian demi ujian. Kegagalan demi kegagalan agar akhirnya nanti bila kita kecapi kejayaan, kita reti untuk merasa nikmatnya sebuah kejayaan yang Allah kurniakan. Subhanallah! 

Yang penting, betulkan cara kita melihat sesuatu. Andai kita mahu menjadi Muslim hebat satu hari nanti, jadi tidak salah untuk kita lihat diri kita sebagai Muslim hebat mulai hari ini. Hebat yang bagaimana? Hebat dalam pelajaran, hebat dalam ilmu agama, hebat dalam menguruskan keluarga, hebat dalam hubungan bermasyarakat, hebat dalam melontarkan idea, hebat dalam mendidik, hebat dalam segala benda. Salah ke melihat diri kita sebagai Muslim hebat mulai hari ini walaupun hari ini kita memegang keputusan peperiksaan yang mengecewakan? Tidak salah!

Kuasa imaginasi itu hebat. Mulai hari ini, ubah cara kita melihat sesuatu. Ubah cara kita melihat diri kita sendiri, bagaimana kita melihat kemampuan diri kita. Allah Maha Adil. Tidak Dia ciptakan kita atas dunia ini untuk menjadi hambaNya yang hina. Tidak sekali-kali. Setiap daripada kita pasti mempunyai kelebihan yang tersendiri. Tiada siapa-siapa yang boleh menafikan hebatnya kita sebagai Muslim hebat kecuali Allah swt. Sekiranya Dia mengizinkan, kenapa kita sendiri perlu gusar dan khuatir dan terus berada dalam dilema?

Jangan kita asyik nak fikir, "si Ahmad tu layaklah dapat 4.00 sebab dia genius! Aku ni lampi sikit!". Oh come on, kawan-kawan. Ubah cara kita fikir. "Kalau Ahmad boleh dapat 4.00, kenapa aku tak boleh? Aku pun genius juga!". Ha! Macam ini kan bagus. Kalau kita lihat diri kita sebagai budak bijak, maka hasilnya kita akan jadi budak bijak. Segalanya berlaku dengan izin Allah swt.

Pesanan 4: Kita pilihan Allah.

Yang ini saya dedikasikan khas untuk pelajar-pelajar, sahabat-sahabat yang aktif berpersatuan, berprogram tak kiralah di dalam kampus atau di luar kampus. Sama ada bersama dengan komuniti kampus ataupun masyarakat luar. 

Saya melalui cabaran yang sama seperti kalian. Merasakan masa 24 jam sehari selalu tidak cukup untuk saya menyelesaikan segala tanggungjawab. Dengan tuntutan kelas, tuntutan peperiksaan, tuntutan peribadi untuk makan, minum, mandi, bershopping dan segalanya, tuntutan tanggungjawab lain seperti program itu, aktiviti ini, mesyuarat itu, perjumpaan ini dan sebagainya. Susah ke untuk kita jalani semuanya dengan baik?

Memang tidak mudah seperti petikan jari. Tapi tidaklah ianya sukar sampai perlu kita putus asa di pertengahan jalan. Kalau kita menaiki sampan, telah kita kayuh sampai ke tengah lautan. Mencari destinasinya iaitu ke tepian pantai yang satu lagi. Andai kita berputus asa dan berhenti mengayuh, maka kita akan terus terdampar di tengah lautan. Sampai bila kita mahu terus tersangkut begitu?

Cabaran memikul tanggungjawab 'extra' selain daripada pelajaran dan perkara biasa yang lain memang besar. Tidak dinafikan. Kadangkala mendapat keputusan yang baik, banyak kali juga merudum jatuh. Kadang-kadang terasa muka ini tersembam mencium lantai. Terujinya kita kerana apa? Kerana kita pilihan Dia.

Kita dipilih untuk memimpin, untuk mengemudi satu demi satu tugasan. Ada yang bermisikan kebajikan, ada yang bermisikan kerohanian, ada yang bermisikan kesihatan dan sebagainya. Tak kisah apa pun 'nature' perjuangan kita, yang penting kita perlu jelas bahawa kita pilihan Allah. Kita insan terpilih.
Kita yang angkat tangan di situ.
Sumber: Google Image lagi.


Maka janganlah mudah berputus asa. Setelah Allah pilih kita untuk menjadi pemimpin, takkan mahu senang-senang angkat tangan surrender. Berjuang biar sampai ke penghujungnya. Insyaallah selagi mana niat di hati sentiasa diperbaiki untuk tetap di jalan Ilahi, Allah akan memudahkan urusan kita. Dugaan itu bertimpa-timpa, itu perkara biasa. Lambat laun kita akan semakin cekal menghadapinya. Insyaallah.

Positiflah. Banyak lagi perkara manis yang Allah susun untuk kita pada masa akan datang kalau hari ini kita kuat berdepan dengan dugaan berada di jalanNya. Jangan sesekali kita lihat perjuangan tambahan ini sebagai satu bebanan. Kerana manisnya sebuah perjuangan ini hanya Allah yang tahu. Dia Maha Adil. Kalau hari ini Dia curahkan rasa penuh keletihan pada kita, insyaAllah esok lusa Dia anugerahkan kita dengan kegembiraan yang tak mampu kita ungkap dengan kata-kata. 

Ingat, kita insan terpilih. Tiada apa yang perlu kita sesalkan. Jangan undur nanti kita terus mundur! Jangan toleh belakang, nanti kita terus terkebelakang!

Akhir kata, "Seorang pejuang memang miskin rehat, kerana kaya dengan semangat!"

Semoga Najlaa semakin kuat semangat. Menulis mesej bermotivasi begini menguji diri untuk terus termotivasi. Mendidik diri agar tidak hanya bersikap 'tahu cakap tak tahu buat'. Sama-sama kita doakan agar kita semua berjaya dengan cemerlang di dunia dan akhirat. Wallahualam.

Tiada ulasan: