Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini saya terpanggil untuk menulis dan mengupas tentang isu sikap kita, sebagai rakyat Malaysia khususnya. Kenapa saya mahu kupas tentang isu ini? Kerana saya terbaca tentang berita kemalangan jalan raya yang melibatkan lori pasir dan treler yang membawa ratusan guni beras berhampiran Tanjung Malim, semalam. Nyata, kemalangan itu bukan kecil-kecil kemalangan kerana kelindan treler beras itu maut dalam kemalangan tersebut manakala pemandu treler tersebut cedera parah. Apa yang membuatkan saya rasa 'sadisnya dengan sikap rakyat Malaysia' ini kerana, orang ramai yang berada di tempat kejadian, bukannya menolong mangsa kemalangan, tapi giat dan leka mengutip beras. Yang cedera dibiarkan tanpa bantuan. Wajarkah kita bersikap seperti ini?
Anda boleh singgah di sini untuk membaca berita tersebut. Saya copy-paste luahan pemandu treler beras daripada akhbar Utusan Malaysia:
“Hampir satu jam saya terbaring di atas lebuh raya dan tiada seorang pun yang menghulurkan bantuan. Malah, mereka kelam kabut mengutip beras yang bertaburan.
“Tidak cukup dengan beras, beg dan telefon bimbit saya juga diambil. Bayangkan dalam keadaan berlumuran darah, mereka hanya memandang tanpa membantu memberikan kain untuk menutup luka saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Pemandu treler. |
Persoalan demi persoalan timbul di fikiran saya. Apa punca kita bersikap seperti ini? Kenapa kita bertindak seperti orang kebuluran sangat, sampaikan sanggup mengutip beras di tengah-tengah lebuhraya? Apa miskin sangat ke? Kalau yang kutip beras itu datangnya menggunakan basikal, mengaut beras seplastik, diletakkan dalam raga basikal demi untuk memberi makan anak-anak kecil di rumah, lain lah. Ini tidak. Yang sedihnya adalah apabila yang datang mengutip beras itu menaiki kereta yang sempurna, ada antaranya yang bersungguh-sungguh memenuhkan bahagian belakang kereta 4WD dengan beras yang dikutip. Tiada rasa malukah dalam diri kita??
Pesta mengutip beras - Tanpa rasa malu?? |
Masing-masing mengutip hasil. Sadis. |
Dah lah mangsa kemalangan dibiarkan tanpa bantuan, kerana orang ramai sibuk mengutip beras, tidak cukup dengan itu, harta benda mangsa kemalangan juga dikebas orang. Ke mana agaknya perginya rasa malu dan rasa berdosa dalam diri kita? Katanya, orang Melayu tinggi budi bahasa, lemah lembut tutur bicara. Tapi apa maknanya semua itu kalau sesama manusia pun kita gagal untuk membantu. Malah lebih menyusahkan keadaan.
Tidak terfikirkah beras yang dikutip itu nanti dibuat beri anak-isteri makan, halal atau pun tidak? Itu bukan barangan yang dijumpai. Kalau barangan yang dijumpai jelas tiada tuan. Sedangkan dalam situasi ini, jelas pemandu lori yang dipertanggungjawabkan untuk membawa beras itu ada di situ. Tiada timbul isu beras itu barang yang dijumpai. Sadis sungguh masyarakat kita hari ini. Dunia makin lama makin baju, tapi kita bersikap semakin mundur.
Baru beberapa bulan lepas terjadi kes kemalangan yang melibatkan supplier duit syiling, menyebabkan RM75,000 duit syiling bertaburan di atas lebuh raya berhampiran Seremban terjadi. Masyarakat kita sanggup bergadai nyawa demi mengutip duit syiling. Tidakkah gila namanya? Kemudian beberapa hari selepas itu muncul kenyataan Mufti mengatakan duit yang dikutip itu haram diambil kerana tuannya ada di situ. Bukan barang yang dijumpai! Saya menggaru kepala yang tidak gatal, apakah rakyat Malaysia ni miskin, papa kedana sangat?
Gigih mengutip duit syiling. |
Ini persoalan sikap. Jangan ada pula yang menuding jari kepada pihak kerajaan. Kalau negara gah mencapai taraf tertinggi sekalipun, tapi kalau sikap rakyat tidak berubah, sampai bila pun kita akan tetap begini. Sekadar negara maju, tapi mentaliti masyarakat terus miskin dengan ilmu dan kesedaran, tak ke mana lah kita. Bila kita nak berubah?? Sama-sama kita renungkan.
Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan