“Saya sebenarnya cukup kecewa dengan Mahasiswa-mahasiswa Universiti. Kebanyakannya, dah belajar pandai-pandai, habis belajar, mereka hanya fikir untuk dapatkan kerja, untuk gaji besar, untuk kaya. Pernah tak mereka fikir apa peranan mereka untuk bangunkan belia hari ini?”
Ini adalah antara luahan hati salah seorang pejuang belia yang saya temui dalam satu program pemimpin muda hujung minggu lalu. Jelas terpapar raut wajah kecewanya. Saya hanya sekadar mengangguk. Tiada sebab untuk saya nafikan. Sebagai mahasiswa, saya terpaksa mengakui kenyataan itu kerana memang itu kebenarannya.
Cuba sahabat-sahabat tanya pada diri sendiri, lepas habis belajar nanti, sahabat-sahabat nak buat apa? Mesti nak cari kerja cepat-cepat, nak dapat gaji yang sedap-sedap, nak kerja best-best, nak kumpul duit banyak-banyak, nak kahwin grand-grand, dan seterusnya. Tapi, tiada satu pun perancangan untuk bantu membangunkan kualiti belia negara terselit dalam perancangan hidup kita. Betul kan? Ataupun, jika ada pun terlalu minoriti golongan mahasiswa yang terfikir untuk menyumbang kepada masyarakat sesudah tamat pembelajaran di Universiti. Mari tepuk dada, mari tanya jiwa.
Hari ini, kita tidak boleh nafikan bahawa masalah-masalah belia negara khususnya dari segi sosial terlalu merisaukan kita dan menggugat keyakinan kita untuk mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara selamat. Ataupun kita mungkin berani kata, untuk hari ini kita masih selamat. Tapi, pernah tak kita fikir tentang nasib anak-anak kita nanti yang mungkin bakal berada dalam satu suasana negara yang huru-hara, yang hilang pedoman, yang makin nipis iman. Mustahil atau tidak untuk ini berlaku? Langsung tidak mustahil. Tiada yang mustahil.
Mengapa saya timbulkan persoalan ini? Kerana pada hakikatnya, pimpinan negara kita pada hari ini, yang masih teguh dan yang masih mampu mewujudkan ketenangan/kedamaian negara adalah hasil daripada hebatnya pembinaan kualiti belia Malaysia pada 20-30 tahun dahulu. Dan perlu kita sedar, untuk melihat bagaimana Malaysia pada 20-30 tahun mendatang, perlu kita lihat pada kualiti belia kita hari ini. Dengan belia-belia yang hebat merempit di jalanan dengan matlamat untuk mati di jalan yang lurus, dengan masalah sosial yang berleluasa yang berjaya melahirkan bayi-bayi tidak berdosa dan kemudian membuangnya ibarat sisa makanan yang senang-senang untuk dibuang, tidak lupa juga masalah-masalah dadah, pecah rumah, ragut, dan banyak lagi. Jadi, mari tanya diri sendiri. Berkualitikah pimpinan negara untuk 20-30 tahun akan datang, dan selamatkah anak-anak kita nanti? Fikir, jangan tak fikir.
Gambar-gambar ihsan dari Google. |
Sahabat-sahabat, penulisan saya kali ini bukan berniat untuk menghentam mana-mana pihak. Tapi, saya lebih berminat untuk mengajak sahabat-sahabat semua buka mata dan mula merancang strategi bagaimana untuk menyumbang kepada pembangunan kualiti belia hari ini. Terutamanya pada mahasiswa-mahasiswa universiti yang berpelajaran tinggi, yang mengarah kepada pembangunan minda kelas pertama. Kita bijak dalam pelajaran, kita hebat dalam berbicara, tapi kita selalu complaint sana sini dengan masalah yang berada di sekeliling kita. Makin kita belajar tinggi, makin kita bijak complaint. Mulalah kita kata, kerajaan tak buat kerja, pembangkang pula sibuk cipta propaganda, dan sebagainya. Tapi, hari ini kita perlu tanya diri kita, apakah peranan kita dalam memperbaiki kualiti belia negara hari ini? Apa yang kita lakukan bagi mengurangkan kadar masalah sosial negara hari ini?
Bagi yang aktif berpersatuan di Universiti masing-masing, saya lihat ianya sebagai satu langkah permulaan untuk kalian terus berbakti kepada masyarakat. Masyarakat di luar sana perlukan bantuan kita. Mereka memandang kita sebagai golongan berpelajaran yang boleh membantu menyelamatkan situasi sekarang ini, malangnya mereka ibarat menanti bulan jatuh ke riba. Kerana kita langsung tidak sedar bahawa kehadiran kita, amat dinantikan oleh mereka. Maka, kita hanya buat bodoh, goyang kaki, macam tidak perlu berfungsi apa-apa.
Beraktiviti kemasyarakatan semasa di Universiti, ianya perlu dilihat sebagai satu bonus. Yang pasti, jangan biar jiwa yang suka berbakti kepada masyarakat itu tamat bersama dengan tamatnya pembelajaran kita di Universiti. Kesinambungan perlu dijalankan. Sungguhpun hanya dengan pergi ke kampung, dan mengajar anak-anak kampung tentang ABC ataupun 123 atau lebih bermakna jika kehidupan bermakna di Universiti dapat dikongsi bersama. Moga-moga, semangat yang kita kongsi bersama mereka, boleh membina semangat mereka untuk terus mengubah cara hidup dan meningkatkan kualiti belia negara, demi masa depan negara yang cerah.
Saya tidak menuntut sahabat-sahabat untuk lekas mendaftarkan nama di bawah mana-mana pertubuhan belia. Malah saya sendiri tidak mendaftar. Pada mata saya, menyumbang kepada negara tidak semestinya perlu berada di bawah mana-mana pertubuhan. Yang penting, niat dan matlamat kita memang untuk pembangunan bersama. Yang minat dan hebat soal agama, boleh bantu masyarakat dari segi pemantapan kerohanian mereka, yang suka aktivit-aktiviti sukan, boleh sama-sama kembangkan minat sukan dalam diri masyarakat, yang berkebolehan menjadi fasilitator boleh terus kembangkan usaha dengan masyarakat. Susah ke? Saya tak rasa ianya susah.
Mari renung sejenak: Najib Tun Razak pernah menjadi Menteri Besar Pahang pada usia beliau 29 tahun. Hari ini, adakah kita punyai pemimpin semuda ini?
Mari kongsi ilmu: ‘Belia’ didefinisikan di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 sebagai seseorang yang berusia 15-40 tahun.
Mari bangkit. Kita punyai peranan dan tanggungjawab. Berhentilah ber-clubbing, berhentilah ber-gosip, berhentilah ber-huhahuha tanpa member manfaat. Lakukan segalanya untuk kita dan masyarakat.
Wallahualam.
Tulisan: Fateen Najlaa Idayu;Anak Muda Yang Sayangkan Keamanan Malaysia
2 ulasan:
huhahuhahuha..
and what does that mean, mummy?haha
Catat Ulasan