Selasa, 29 Mac 2011

Masalah sebagai Peluang

Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah; dalam Surah Al-Baqarah; Ayat 286:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Acapkali apabila kita dihadapkan dengan pelbagai masalah, baik kecil mahupun besar kebiasaannya keluhan menjadi teman akrab mengiringi langkah-langkah longlai kita dalam berhadapan dengan masalah-masalah tersebut. Silap hari bulan, langkah-langkah longlai kita juga ditemani caci maki yang menghiasi bibir manis kita. Untuk apa segala keluhan, omelan dan caci maki itu semua? Untuk menyelesaikan masalah, jauh sekali. Sekadar menyumbang saham dosa, mungkin menjadi!

Sahabat-sahabat, apa kata kalau kita cuba untuk melihat masalah yang kita hadapi sebagai peluang keemasan yang datang dalam hidup kita. Melihat masalah sebagai peluang? Biar betul! Relevan dan logikkah semua ini? Hey! Belum cuba, belum tahu, kan!

Masalah dalam berorganisasi/program

Kebiasaannya dalam memimpin sesebuah organisasi atau program, kita akan berdepan dengan pelbagai masalah. Masalah dengan peserta, masalah dengan tentatif, masalah dengan pihak yang bekerjasama, masalah dengan pihak atasan universiti. Macam-macam masalah! Kadang-kadang kita rasa putus asa, sampai berkata “Ah! Lantaklah dengan program ni! Aku dah malas! Cancel aje!” ataupun “Pergi mam*** dengan diorang. Ingat aku heran dengan apa dorang nak buat? Nak ambil tindakan, ambil lah!” dan sebagainya. Memang tak mudah. Saya akui. Tapi kawan-kawan, perlulah sedar, jika tidak diuji, tidak dicabar, tidak banyak juga pengalaman yang berjaya dikutip. Kita takkan fikir yang kita mampu kecuali dalam keadaan terdesak, baru kita sedar yang kita mampu.

Kita perlu lihat masalah yang timbul sebagai satu peluang. Bagaimana? Sekiranya menghadapi masalah dalam penyertaan, apa kata kita korek idea, berfikiran kreatif sedikit. Keluarkan cara-cara baru atau strategi-strategi baru untuk mencari peserta, dan ketengahkan idea tersebut. Bila berhasil, baru anda nampak dengan jelas. Itulah peluang yang telah anda terokai! Dan orang lain akan mula menghargai keunikan cara anda berfikir. Promosi program yang kita tengok hari ini sama saja, kalau tak website, flyers, tak pun facebook, tak pun SMS tak pun banner atau bunting, atau yang paling rajin sekali buka booth pendaftaran. Jadi, cuba kreatif sikit! Inilah masanya untuk anda mencari peluang, mengetengahkan bakat.

Masalah dalam hubungan

Baru-baru ini, saya berkenalan dengan seorang pelajar bidang Usuluddin yang sedang menjalani praktikal di Majlis Agama Islam di sebuah negeri di utara. Katanya;

“Zaman sekarang ni nak selesaikan masalah penceraian makin susah. Tak macam orang dulu-dulu, kalau pejabat agama nasihat sikit, mereka terima, mereka selesaikan cara baik di rumah. Sekarang ni, semua orang berpendidikan tinggi, masing-masing rasa diri mereka hebat, masing-masing tak nak mengalah.”

Inilah realiti kehidupan hari ini. Kenapa kes penceraian semakin meningkat? Kerana kita lupa untuk berpatah balik pada nilai-nilai agama, kita tolak tepi hikmah di sebalik cabaran yang Allah turunkan. Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri ataupun pasangan bercinta.

Kita melihat masalah yang datang sebagai satu MASALAH. Itu kesilapan kita dalam kebanyakan keadaan. Seharusnya kita lihat sesuatu masalah yang datang sebagai cabaran yang perlu kita tempuhi sambil mencari peluang untuk memperbaiki diri. Susah ke? Bukan susah pun.

Contohnya, bila menghadapi masalah dengan pasangan, kita dihujani dengan luahan perasaan tentang betapa kecewanya pasangan kita itu dengan kita. Inilah masanya untuk kita muhasabah diri. Lihat diri kita yang kononnya hensem ataupun cantik dengan cermin, Tanya diri sendiri, apa yang boleh aku perbaiki??

Inilah peluang untuk membentuk diri menjadi orang yang lebih baik, menjadi pasangan yang lebih dihargai. Bukannya susah pun. Kalau isteri complaint “Saya tak tahan. Ketiak awak hangit”, maka cuba-cubalah merajinkan diri untuk selalu mandi, pakai deodorant, pakai minyak wangi. Kalau suami complaint, “awak ni hari-hari masak telur goring, ikan bilis goreng dengan sardin. Saya naik muak tau!”, maka, rajin-rajinkanlah diri untuk buka buku resipi atau tengok rancangan-rancangan masakan yang berlambak di TV bagi memantapkan kualiti diri. Oh come on. Untung-untung bila badan dah wangi, bos di ofis senang hati, dapat naik gaji atau bila dah pandai memasak, suami tak makan luar lagi, jimat duit, boleh buat melancong bersama keluarga. Cari peluang!

Andai kata, anda menghadapi kekecewaan dalam hubungan cinta. Bercinta bagai nak rak, kononnya lautan api sanggup direnangi, dalam tempoh percintaan siap dah pilih nama anak bagai, kan? (Ini paling kelakar dan saya tak tahan.hehe) Tiba-tiba hubungan yang dibina terputus di tengah jalan. Kecewanya bukan kepalang. Apakah yang harus dilakukan? Terjun bangunan atau kelar tangan? Mana best?

Oh, come on! Positif. Lihatlah ini sebagai satu peluang baru untuk buka mata lebih luas. Luaskan pemikiran, luaskan pengalaman, luaskan pemandangan. Betapa ramai lagi calon-calon suami atau isteri yang lebih sesuai untuk anda, yang lebih baik dan layak menjadi pasangan anda untuk sehidup semati. Sampai syurga hendaknya. Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk anda, jadi apabila hubungan gagal, bermakna dia bukanlah terbaik untuk anda. Mudah!

Cari peluang baru, untuk mengenali isi-isi hidup yang lebih bernilai. Anda pasti kagum dengan hikmah Allah.

Masalah dalam Pelajaran

Oh, ini sensitif. Sangat sensitif. Masa sekolah-sekolah dulu, kalau orang tanya, “Kau dapat berapa A UPSR?”, kita dengan selambanya menjawab “Oh. 1A, 1B, 1C, 1D, 1E”, dengan penuh tenang dan relax. Kenapa? Kerana masa zaman dulu-dulu, kita jarang ada rasa malu berkenaan dengan keputusan peperiksaan. Nak sorok apa sangat, setiap kali peperiksaan hujung tahun, cikgu-cikgu tampal list keputusan pelajar dari No 1 sampai no terakhir. Chill. Kau kutuk aku, aku kutuk kau.hehe

Tapi, zaman universiti ini berbeza. Cuba tanya, “Mat, mat.. Last sem GPA kau berapa?”. Mesti Mat kata, “Eh, adelah. Result adalah rahsia..”, hehe. Dah macam konsep undi adalah rahsia je kan! Itulah kesilapan dan kekurangan kita.

Kalau dapat result kurang cemerlang, tak salah berterus terang dengan orang yang bertanya. Lepas berterus terang, ambil PELUANG untuk minta mereka doakan keputusan yang baik untuk kita pada masa akan datang. Paling takpun cakap macam ni, “Result aku sedikit mengecewakan lah. Kau doakanlah aku berjaya dengan cemerlang untuk next sem. Ataupun, kalau kau sudi, kau ajarlah aku..”.

Ini tak, kita tak mencari langsung peluang untuk perbaiki keadaan. Lebih teruk lagi kita terus bajet bagus, rasa macam, ah tak payahlah study dengan diorang. Aku study sendiri je lah!

Pandai-pandailah cari peluang minta didoakan ke, minta diajarkan ke. Janganlah jadi bodoh sombong. Bila nak maju kalau asyik bodoh sombong. Betul tak? Paling sadis adalah apabila ibu bapa juga turut tertipu dengan kita. Kalau Mak tanya, “Minah, result last sem macam mana? Ok tak?”. Lantas kita lajunya menjawab, “Ok. Semua ok. Jangan risaulah, Mak! Minah kan top scorer!”. Padahal result hancur masih nak menipu Mak. Kalau berterus terang kan lebih baik. Boleh Mak doakan dalam tiap-tiap solatnya. Doa seorang ibu ini amat makbul. Jangan terlepas peluang!

Percayalah, gagal sekali tak bermakna gagal selamanya. Ada pujangga mengatakan, “kita tak pernah gagal cuma kita belum berjaya!” Dan setiap kegagalan yang dilalui sebenarnya adalah satu langkah ke hadapan menemui kejayaan.

Yang penting, jangan lihat masalah dalam pelajaran itu sebagai satu kekecewaan yang mendesak kita untuk mengundur diri. Itu semua silap. Tapi lihatlah masalah itu sebagai peluang untuk kita cipta kelainan, untuk kita bentuk satu kejayaan esok hari. Tiada yang mustahil.

It’s all about the way how you see something

Banyak lagi yang boleh dikupas. Tapi setakat ini dulu. Kesimpulan hari ini, perlu dilihat sesebuah masalah itu sebagai satu peluang. Remember; it’s all about the way how you see something. Kalau anda melihat sebiji epal sebagai buah untuk dimakan, maka ianya hanya mampu menjadi buah untuk dimakan. Tapi, kalau anda melihat sebiji epal sebagai sumber untuk menghasilkan jus bagi menghilangkan kehausan, ataupun sebagai satu sumber untuk menghasilkan pai, atau sebagai satu senjata yang boleh digunakan untuk menyerang musuh, maka ia akan berfungsi sebagaimana anda memikirkannya.


Jangan putus asa!

Tiada sebab untuk cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi. Cari peluang untuk perbaiki diri. Inilah masanya untuk terus menggali. Menggali potensi diri, agar terus memperjuangkan sesuatu yang berharga agar diri terus diberkati.

Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuannya. Jadi, andai anda diuji bermakna anda pasti boleh hadapinya. Tak percaya? Lekas cari peluang! Anda pasti jadi orang hebat. Fikir-fikirkan. =)

Wassalam.

Tiada ulasan: