Isnin, 20 Februari 2012

Jangan sesat di dalam kehidupan.

Dalam hidup, kita perlu tahu arah yang dituju. Destinasi perlu pasti. Baru perjalanan hidup tidak menjadi sesuatu yang sia-sia. Ibaratnya seperti kita mempunyai kereta untuk dipandu. Lalu kita pandu tanpa tujuan, tanpa destinasi. Puas berpusing ke sana ke mari, tiada tempat yang kita singgahi. Lantas kita tersangkut di tengah-tengah bandar atau kampung yang tiada kita tahu di mana, dan tersangkutnya atau terkandasnya kita di tempat itu kerana kehabisan minyak kereta.

Sama seperti dalam kehidupan. Andai tiada arah tuju, tiada matlamat, tiada 'end destination' nescaya hari-hari yang kita lalui menjadi satu bentuk pembaziran. Sampai satu tahap apabila kita terasa benar-benar kelam, kita akan pancit dalam 'pembaziran' ini. Akibatnya kita putus asa, kita menyalahkan orang lain atas 'kebodohan' dan 'kebingungan' yang berlaku ke atas kita, kita hilang kepercayaan atas diri sendiri atau paling teruk sekali apabila kepercayaan kepada Yang Maha Pencipta juga hilang lenyap begitu saja. Allah swt dipersalahkan atas kosongnya dunia kita walhal sejak dari mula kita sendiri yang gagal menetapkan hala tuju hidup kita sendiri. 

Allah anugerahkan kita akal untuk berfikir. Kalau benar-benar digunakan sebaiknya, Subhanallah pasti hebat benar kita. Hebatnya manusia apabila Allah swt sendiri yang memilih manusia sebagai khalifah di atas dunia ini. Dan menjadi khalifah itu pasti bukan kosong saja peranannya tetapi besar tanggungjawabnya. Dan tidaklah Allah jadikan jin dan manusia selain untuk beribadat kepadaNya.

Dan sebagai manusia hebat, khalifah yang mantap, kreativiti itu benar-benar penting. Harus kita lihat bahawa 'ibadat' itu bukan sekadar cukup dengan solat ataupun berzikir di atas tikar sejadah. Bukan juga semata-mata beriktikaf di dalam masjid berjam-jam atau berhari-hari lamanya. Tetapi ibadah adalah lebih daripada itu semua. Lakukanlah apa saja yang halal di sisi agama, letakkanlah semua usaha atas nama Allah swt, insyaAllah mendapat pahala ibadah dariNya.

Jangan kita jadi manusia yang hilang pedoman setelah penat berpusing-pusing dan sesat di dalam kehidupan kita sendiri. 

Wallahualam