Isnin, 8 April 2013

Surviving Law School.

Suatu pagi di hari minggu, Ummi mengajak bersarapan pagi di luar. Di kedai mamak kegemarannya, secara spesifik. Menjadi anak yang 'tunggal' waktu ini, saya bersetuju. Melayan selera Abah Ummi pada usia emas mereka begini adalah antara momen-momen indah untuk saya terokai dan hayati.

Di dalam kereta, Abah dan Ummi berborak tentang anak-anak rakan/saudara mereka yang berjaya menjadi doktor. Tidak lupa juga kegembiraan sendiri yang dikecapi, Abah berkata; "Abah syukur, seronok ada anak doktor, lawyer...".

Dengan pantas saya menepis, "Abah bukan nak anak jadi lawyer pun..". Sengaja saya bikin panas. Hehe. "Abah kan nak anak semua jadi doktor je..", saya menambah. Mengimbau pengalaman lalu, Abah benar-benar mahu saya menjadi seorang doktor. Namun dengan penuh selamba dan degil, saya membelok ke dunia berbeza. :)

"Eh apa pulak. Abah bangga apa ada anak lawyer jugak. Bukan senang nak jadi lawyer..", Abah konon menyedapkan hati si anak. Hehe. Ummi di belakang menambah-nambah, sengaja bikin panas. Seronok!

*****

Ramai orang bercita-cita hendak jadi peguam, tetapi tidak jelas dengan apa ruang lingkup kerjaya seorang peguam sebenarnya. Banyak universiti yang menawarkan jurusan undang-undang baik awam mahupun swasta. Malah ada juga kursus undang-undang ditawarkan tanpa mendapat pengiktirafan sepenuhnya. Setakat saya menulis entri ini, Unisza dan USIM masih berjuang mendapatkan pengiktirafan bagi membolehkan graduan-graduannya menjalani latihan dalam kamar seterusnya bergelar peguam.

So point pertama, jika mahu belajar undang-undang dan berniat untuk menjadi peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya yang diiktiraf, mohon kaji dulu taraf pengiktirafan kursus yang ditawarkan di universiti tersebut.

Ramai juga pelajar undang-undang ataupun graduan undang-undang yang membuat kesimpulan bahawa 'man, it's not easy to survive law school!'. Hehe. Benarkah?

Saya percaya, tak ada benda yang mudah dalam hidup ini. Semua jurusan pun mencabar dan dilihat payah. Mahukan kejayaan? Berusahalah! Mana ada kejayaan datang bergolek, ye tak? :)

Namun saya juga perlu bersetuju bahawa to survive law school is not something easy, but it's not impossible at all. Sebabnya, selepas tamat belajar, cabaran dunia chambering/latihan dalam kamar, lagilah 'neraka' untuk kebanyakan orang.

Seperti pelajar perubatan yang terseksa jiwa dan raga ketika zaman belajar, pastinya semua itu bukan sia-sia malah ia disusun sebegitu bagi membentuk persediaan mental dan fizikal tatkala mereka menjenguk alam 'housemanship' atau doktor pelatih. Dunia houseman lebih 'neraka' dari apa yang mereka sangka.

Maka tidak peliklah apabila ramai graduan undang-undang yang ketika belajarnya tidak sabar untuk habis belajar dan meninggalkan dunia penuh tekanan itu, memilih untuk kembali belajar ketika ber-chambering. Kerana kebencian yang terzahir ketika ber-chambering lebih besar berbanding seksa zaman belajar. Hehe. So hint-nya apa? It's not easy to survive law school. And it's crazier to survive chambering!

Tetapi alhamdulillah, segala kepayahan pasti ada kemudahan selepasnya. Itu janji Allah. Maka, berusaha sajalah. Allah pasti bantu.

Ramai juga kenalan saya yang pada asalnya mengambil jurusan undang-undang tetapi selepas beberapa semester, mereka bertukar bidang. Mengapa? Barangkali imuniti mereka tidak dapat melawan seksa dunia perundangan. Hehe.

Tetapi ada juga yang gagal beberapa kali tetapi tidak pernah berputus asa, apatah lagi bertukar bidang. Mereka tetap berusaha dan berusaha, hasilnya, mereka kini sangat hampir dengan pentauliahan bergelar Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. As I said, it is not easy but nothing is impossible!

Sejak beberapa bulan yang lalu, saya banyak menerima berita gembira dari rakan-rakan. Rata-rata sedang bergembira kerana selesai menjalani latihan dalam kamar, tinggal lagi untuk mendapat pentauliahan sahaja. Masing-masing sibuk mencari rezeki kerja yang lebih baik. Rata-rata sibuk menunggu panggilan temuduga. Tidak lupa juga yang telah pun menerima tawaran kerja yang lumayan, atau agak lumayan. Hehe.

Saya? Saya menumpang gembira. Seronok melihat seorang demi seorang mencapai cita-cita setelah mengharungi segala susah payah dari mula hingga akhir. Paling tidak percaya sekali, setelah tamat chambering, masing-masing cuba mengintai peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, Sarjana. Sedangkan dahulu benar-benar terseksa bergelar pelajar undergraduate dan berdoa agar masa cepat berlalu. Tiba-tiba kini mahu kembali bergelar pelajar? Aneh! Itulah cinta yang buta namanya.hehe.

Melalui kepayahan di dalam bidang ini sungguh mengasyikkan dan mengujakan. Memang benar, kepayahan yang dilalui menanam rasa benci yang saaangat dalam. Tetapi once we are out of the danger zone, kita rasa sangat happy dan excited lalu teringin untuk terus menaikkan taraf pengetahuan. This is amazingly true. Selain Sarjana, Diploma in Syariah Legal Practice pun menjadi 'target' mereka. Asal boleh nak tambah ilmu undang-undang, selagi itu nak try. Hehe.

Minggu lalu ketika keluar membeli kasut kerja dengan dua orang rakan seperjuangan di MMU, salah seorang daripada mereka menerima panggilan telefon. Mendengar perbualan yang profesional dan serius, saya dan seorang lagi rakan mengagak, pasti panggilan terima kerja! Kami yang memasang telinga ini yang excited. Tatkala si penerima panggilan selesai bercakap dan mematikan talian, saya dan seorang lagi rakan senyum-senyum memancing. Minta belanja. Hehe. Gembiranya bukan kepalang sahabat yang beroleh kerja sehingga menghadiahkan kami seorang satu ciuman di pipi. Kelakar. Bila tengah teruja, semua tindakan di luar kawalan. Nasib baik perempuan sama perempuan!

Rakan saya yang seorang lagi pula ketika itu menunggu hari dipanggil temuduga. Kali ini dengan syarikat permotoran yang bernama besar di pelusuk dunia. Pergh. Dahsyat. Saya tabik spring. Hari ini, adalah hari beliau ditemuduga. Pagi tadi saya telah menurunkan sedikit sebanyak ilmu.kehkeh. Memandangkan saya adalah antara yang terawal ber-chambering, ditauliah sebagai Peguambela & Peguamcara, juga bekerja, mereka selalu membuatkan saya merasa tua dengan gemar merujuk kepada saya. Namun jauh di sudut hati saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka. Mereka sangat hebat dari segi semangat perjuangan mereka sehingga ke tahap ini.

Oh sebelum terlupa, jika ada yang berhasrat untuk menyambung belajar dalam bidang perundangan di MMU, jangan khuatir dari segi kualiti dan pengiktirafannya. MMU diiktiraf dan para graduannya juga layak untuk bergelar Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Jangan khuatir tentang yang itu. Tambahan pula, MMU kini mempunyai Fakulti Undang-undang tersendiri, berbanding sebelum ini saya sendiri bergraduasi di bawah label Fakulti Perniagaan dan Undang-undang. They have grown so fast. Saya tumpang gembira.

Hari ini saya bertugas di sebuah syarikat telekomunikasi sebagai eksekutif biasa. "Tak jadi lawyer pon! Poyo! Cerita lebat!". Hehe. Yes, you are absolutely right.

Saya percaya dan yakin sepenuh hati bahawa Allah menyusun jalan hidup kita dengan keunikan dan hikmah tersendiri. Yakinlah dengan aturan Dia. Saya masih dan sangat sayangkan dunia perundangan saya. Alhamdulillah Allah beri saya peluang, walaupun bergelar eksekutif, bukan Peguam, saya masih menjalankan kerja-kerja berkaitan undang-undang. :)

InsyaAllah jika Allah beri izin dan buka jalan, saya akan kembali merencana jalan hidup seorang peguam muslimah yang syariah compliance bila tiba masanya. Peribahasa melayu 'kacang lupakan kulit' sangat bisa untuk saya terima dan menampalnya pada dahi saya. Oleh kerana itu, saya di syarikat ini, menjalani 'bond' pihak syarikat yang telah menyumbang wang menanggung kos pengajian ijazah undang-undang saya dan juga membekalkan wang sara diri sepanjang 4 tahun sebelum ini. Hehe.

Well, I enjoyed my undergraduate life so much.
And I am currently enjoying my working life cum postgraduate life at this moment.

Surviving law school is not easy but it is never impossible.
You should try, if you have a dream to be a legal practitioner one fine day.

It's awesome, and amazing, I tell you!

Rakan-rakan.
Dahulunya sekuliah.
Kini, se-pengamal-undang-undang.

Rabu, 3 April 2013

Saat kau jatuh cinta

Tatkala kau masih remaja
Baru semalam kau bermimpi lalu baligh
Esoknya kau katakan, 'aku dewasa!'
Waktu itu yang kau kejar hanya cinta
Cinta pada si gadis buat si teruna
Cinta pada si jejaka buat si dara
Sungguhpun ayah bonda bicara 'jangan bercinta!'
Kau tetap melaung dan meraung berkata, 'ah! aku punya suka!'

Lalu kau berjalan
Dari perlahan seperti kekura
Sehingga selaju kilat di langit
Mencari dan mencari kalau ada yang terpana
Dek ayat manis yang kau sulam dari pinggir bibir mu

Nah! Sudah ada yang tersangkut di jerat miangmu
Gembira kau bukan kepalang
Lantas kau menjadi biasa dengan rasa angau dan rindu
Apa kau kisah dengan bisingnya ayah bondamu
Yang kau tahu cuma satu
Ucapan aku cinta atau aku rindu!

Saat kau jatuh cinta itu
Entah ke mana tanggungjawab kepada Tuhanmu
Entah hilang terbang cinta kepada ayah bondamu
Yang tertinggal hanya rasa ingin memperkenalkan si dia cinta hatimu
Walaupun masa itu ketiak engkau masih botak belum berbulu.

Gatalnya engkau, meluatnya aku.
Miangnya engkau, hanya Tuhan yang tahu.
Kau sikitpun tidak sedar malunya ayah bondamu
Melihat si anak mengheret ke sana sini buah hati nan satu
Buah hati yang kononnya cinta kan kamu
Buah hati yang bikin kau sasau dengan bicara i love you!

Hey! Kau tahu apa erti malu?
Pasti benar kau tidak tahu.
Kerana saat kau jatuh cinta itu
Yang kau fikir hanya mahu mengikut nafsu
Kau lupa si ayah si ibu menanggung malu
Kerana kau, lupa agama, lupa asal usulmu!

'Ah. Pedulilah!', kata kau
Jangan kau lupa
Kau masih muda
Nanti esok lusa bila kau dewasa yang benar benar dewasa
Pasti kau sesal, sehingga kau sebal
Dan kau akan pinta agar Tuhan padam semua kenangan miang mudamu
Kerana waktu itu baru kau jumpa definisi malu

Jangan khuatir
Waktu itu kau tiada lagi berharga
Caci maki manusia menyumpah meludah muka
Kau hanya perlu diam tunduk renung kaki lama-lama
Dan waktu itu percayalah
Aku mahu kata
Padanlah muka!
Siapa suruh jatuh cinta saat bulu ketiak belum ada??


Selamat berpolitik dengan bersih.

Saya adalah manusia. Saya adalah rakyat Malaysia. Saya memegang kad pengenalan biru yang menandakan saya sebagai seorang warganegara Malaysia. 

Saya lahir di Malaysia. Saya berketurunan Melayu, saya tiada hubungan dengan Kiram dari Sulu. 

Walaupun kami hampir sama dan serupa, tangan kaki beroma berbulu. 
Eh! 

Dalam banyak-banyak isu yang saya baca, saya paling tiada nafsu pada isu politik. Bukan tidak ambil tahu. Ambil tahu. Wajib ambil tahu. Cuma, saya fikir saya perlu mengambil banyak tapak ke belakang dalam mengulas isu politik. 

Kerana saya runsing, benar-benar runsing. Kerana perbedaan ideologi, kerana ketidaksamaan dalam berparti, hubungan anak beranak, ahli keluarga, tergadai dan dijual beli. Benarlah, bukan parti atau politik itu sendiri yang bersalah. Tetapi, salah kitalah kerana gagal untuk meletakkan had dalam perbalahan dan dalam menyantuni perbedaan. 

Anak kita yang semakin dewasa kita tonjol kepalanya, kita ‘bodoh!’kan dia hanya kerana dia percaya bahawa Pakatan itu benar. 

Ayah yang sepatutnya dihormati kita ludah mukanya, hanya kerana dia percaya bahawa BN itulah satu-satu pakatan yang mampu melonjak-naikkan maruah Melayu dan Muslim seluruhnya. 

Ah. Pening. 

Maka oleh sebab itu saya jarakkan diri dalam menyentuh isu politik. Lihatlah blog saya, mana saya usik perihal politik. Lihatlah status FB saya, mana saya war-warkan siapa benar, siapa salah. Siapa yang meliwat, siapa yang diliwat. Siapa yang layak bergelar PM, siapa yang tidak layak. 

Namun ia tidak bermakna saya tidak mengambil tahu langsung isu politik. Saya membaca setiap hari tanpa jemu walaupun sebenarnya sangat jemu. Sangat menjemukan namun tidak boleh tidak, pengetahuan am itu wajib dicari. Sambil membaca, sambil menggeleng. Sambil membaca, sambil mengeluh seorang diri. Cukuplah. 

Dahulu, ketika belajar Constitutional Law, rajinlah juga saya nak memahami dan mendalami dengan kadar hebat perihal Perlembagaan, Parlimen, Dewan Negara dan segala isinya. Malah kecenderungan menghadami isu politik, isu perlembagaan memuncak ketika masih teruja dengan penglibatan dalam Global Model United Nation, GMUN sekitar 2010 – 2011. 

Lama-lama saya perlahankan rentak, cukuplah memandang dari jauh. Saya juga tidak mahu diri saya menjadi peminat politik yang ekstrim sehingga kelancangan saya dalam mengekspresikan pendapat dan hujah saya menjadi bahan gaduh antara saya dan ahli keluarga, khususnya Abah. Hehe. Orang tua, faham-faham sajalah. 

Namun, memilih untuk sekadar memerhati atau kadangkala membuat analisa dalam diam bukanlah bermakna saya memendekkan akal, menyekat minda dari berkembang. Tidak sama sekali. Mendidik diri menjadi seorang pemikir akan secara tidak langsung menjadikan semua isu yang dibaca, semua perkara yang dilihat, semua hal yang diperkatakan berguna dan memberi pengajaran. Tidak mengapa tidak minat mengulas hal politik, namun belajarlah dari dunia politik. Tidak mengapa tidak mahu menyokong wakil-wakil rakyat yang tertentu, namun belajarlah dari skill yang dia miliki. Tidak mengapa tidak teruja untuk sama-sama turun mencula undi, namun belajarlah mengapa pentingnya ada wakil adil mencula undi. Ya, begitulah. 

Hari ini, kita semua tahu bahawa Parlimen telah dibubarkan. YAB Dato’ Seri PM telahpun mengumumkannya pagi ini. Saya percaya, inilah pengumuman yang ditunggu-tunggu, yang dirindu-rindu ramai orang. Saya kira, Malaysia telah bersedia untuk ‘berperang’ secara bersih dan matang. Saya juga percaya tentang hakikat bahawa permainan politik ini takkan bertemu penamat dan akan terus menipu dan akan terus ada yang tertipu sehinggalah kita semua meninggikan martabat pemikiran kita sehingga pihak berotoriti tiada idea lagi untuk menipu dan tiadalah lagi kita tertipu. 

Bila saya katakana tipu, tidaklah saya tujukan kepada sebelah pihak sahaja. Kerana saya percaya, di pihak mana-mana pun ada strategi tersendiri, ada desakan tersendiri, ada keterpaksaan sendiri yang mengakibatkan mereka terpaksa menipu sedikit sebanyak. Barangkali saya silap, saya mohon diperbetulkan. Namun, inilah ombak politik yang saya percaya sejak pertama kali saya memahami politik itu apa. 

Saya berdoa agar kita semua tabah dalam memperjuangkan ideologi kepartian masing-masing tanpa mencederakan mana-mana hati atau emosi orang lain. Berjuang itu perlu, tetapi tidak semestinya perlu mengorbankan banyak hati dengan caci maki yang tidak berpenghujung. 

Saya percaya, selagi kita bersikap rakus dalam berparti, selagi itu kita akan diperbodohkan oleh mainan politik. 

Maka, ayuhlah kita bersama-sama memilih jalan terbaik untuk matang dan tenang. Kita ada hak untuk mengundi, maka cukuplah dengan menunaikan hak itu. Kita tiada hak untuk mencaci maki dek kelainan parti, kita tiada hak untuk menyindir memerli dek perbezaan ideologi. 

Kita matanglah. 
Kita tenanglah. 
Kita yakinlah. 

Bahawa Allah swt memang akan menguji sebelum Dia beri kita kesenangan, keharmonian dan keamanan berkekalan. 

Di Malaysia kah? 

Mudah-mudahan. 
Jika tidakpun, tunggulah di Syurga nanti! :)

Selamat berpolitik dengan bersih. 
Semoga kita tidak mengutip dosa mencaci maki menyindir memerli di musim mengundi ini. 

Kepada barisan kepimpinan terma yang baru tamat pagi tadi, terima kasih di atas usaha dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia sungguhpun tidak sempurna. Semoga segala kebaikan Allah berikan ganjaran, semoga segala keburukan dan kejahatan Allah ampunkan. 

Wassalam. 

YAB Dato' Seri Najib. 

Ikhlas; 

anakmalaysia