Selasa, 12 Julai 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi ini saya celik mata dalam suasana terang benderang. Tidur di ruang tamu dengan keadaan lampu tidak ditutup bukanlah satu pembaziran elektrik semata-mata. Strategi sebenarnya adalah untuk bangkit solat malam tapi sekali lagi gagal. Adakah kerana syaitan terlalu manja mendodoi saya tidur agar terus berada dalam lena atau kerana kelemahan iman sendiri yang gagal melawan sedap tidur? 

Hidup Perlukan Komitmen

Saya terfikir sesuatu. Jangan salahkan syaitan semata-mata kerana itu memang tugasnya. Tapi lihat kembali pada diri kita, sejauh mana kita berazam dalam merealisasikan sesuatu yang dihajatkan. Adakah sekadar menepuk bantal dan berkata 'tidurlah. nanti nak qiam..' atau perlu juga ditiupkan semangat dalam jiwa? Ya. Perlu ditiupkan semangat dalam jiwa, dikuatkan azam agar berjaya bangun juga untuk qiam.

Hidup kita perlukan komitmen. Baik dari sudut ringan seperti untuk makan. Untuk makan jua perlukan komitmen. Komitmen untuk terus gigih mencari makanan sama ada dengan memasak sendiri mahupun mencari mana-mana kedai untuk dibeli makanan. Seusai beroleh makanan, perlu ada komitmen untuk menggerakkan tangan dan menyuapkan makanan ke dalam mulut. Tak cukup dengan itu, komitmen dituntut lagi untuk mulut mengunyah dan tubuh badan menjalankan proses menyerap zat, protein dan sebagainya. Kemudian barulah otak mentafsir bahawa 'oh aku sudah kenyang'. Segalanya menuntut komitmen!

Mahu menjadi anak yang baik? Cukupkah sekadar berbasa-basi dengan mengatakan 'aku nak jadi anak yang solehah untuk Ummi dan Abah..' tanpa meletakkan apa-apa usaha dalam menjayakan hasrat hati itu? Tergodakah ibu bapa dengan hanya mendengar bicara itu dalam keadaan sama melihat gelagat anak yang langsung tidak membuktikan usahanya untuk menjadi yang terbaik? Pastinya tidak.

Mencuri hati ayah bonda juga perlukan komitmen. Apa khabar Ummi Abah? Ada ditanya? Sihatkah mereka? Ada apa-apa yang diperlukan mereka yang boleh kita usahakan? Adakah kita bersama bersama tatkala mereka memerlukan? Sakit demam batuk selesema cirit-birit mereka tahukah kita? Jangan pula kita sudah tahu tapi buat-buat tak tahu. Atau buat-buat sibuk, mencari helah supaya tidak terlibat dengan kekotoran tangan membuang daki ayah bonda yang sedang terlantar sakit, tidak terpalit tangan kita dengan hingus orang tua, tidak busuk tangan kita dengan najis mereka. Mana mungkin mahu menjadi anak yang soleh/solehah dengan cara begitu. Hidup perlukan komitmen, bukan?

Tepuk dada tanya jiwa

Saya tertarik untuk mengupas soal ibu bapa kerana hidup kita perlu sentiasa diiringi redha mereka. Kerana hakikatnya, 'Redha Allah datang dengan redha ibu bapa..'. Malah kalau mahu mengupas tentang komitmen terhadap agama lagi besar. Allahuakbar. Tak terbayang betapa lemahnya kita sebenarnya dalam mengangkat prinsip 'amar maa'ruf nahi munkar'.

Kita mungkin selalu memasang hasrat untuk menjadi anak yang soleh, hamba yang soleh, manusia yang cemerlang dunia dan akhirat. Tidak salah, malah hasrat itu perlu sentiasa dikuatkan supaya tidak kita lari dari landasan kehidupan yang sebenar. Tapi, perlulah kita sentiasa ingat. Tepuk dada, tanya jiwa, setakat mana kita letak komitmen untuk merealisasikan semua hasrat jiwa? Wallahualam.

2 ulasan:

Shygal berkata...

Hi Cik Ayu,

Lama benar tak tgk page ini. Dh byk brubah:)

Gadis Najlaa berkata...

Berubah? Makin matang ye cik jah? Missing u lah cir Jah..