Jumaat, 30 Mac 2012

Luahkan, anda akan cipta perubahan!

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Lama saya biarkan blog ini sunyi dan sepi. Bukan kerana saya kering idea, bukan juga kerana saya mati bicara, jauh sekali ketandusan tenaga tetapi kerana kekangan masa. Sejak memasuki alam bekerja, kehidupan sedikit sebanyak berubah. Masa itu sangat-sangat berharga. Mana nak kejar waktu kerja, waktu bersama keluarga, waktu untuk diri sendiri lagi. Waktu membaca buku juga semakin berkurangan kerana kesuntukan masa. Alternatifnya, saya banyak membaca bahan bacaan online. Alhamdulillah, masih ada alternatif setakat ini.

Harapan Ayah Bonda

Saya kerap berdepan dengan rakan-rakan atau kenalan yang tersekat keinginan mereka sendiri demi memenuhi impian ayah ibu dan keluarga. Antara situasinya;
"Saya sebenarnya tak minat bidang ini, tapi terpaksa sebab ayah saya nak saya jadi seorang Doktor. Dia kata, sayalah satu-satunya harapan keluarga"; atau
"Saya tak tahulah nak plan future saya macam mana, saya tak minat pun Law ni! Ayah saya paksa. Bencinya!", dan macam-macam lagi.

Benar, memang mulia usaha untuk memenuhi impian keluarga khususnya ayah bonda yang telah banyak berkorban untuk kita. Kalau kita rasa kita mampu, tak ada salahnya. Tunaikan harapan dan impian mereka, buat mereka bangga. Kebanggaan mereka adalah hadiah terbesar buat kita.

Tetapi, bagaimana pula jika kita tidak mampu? Setelah kita mencuba dan mencuba, masih kita gagal dan gagal. Kawan-kawan lain sudah masuk tahun akhir, kita masih di tahun satu. Adakah itu satu petanda?

Minat itu kunci semangat

Saya percaya bahawa minat itu menjadi kunci kepada semangat kita dalam mengusahakan sesuatu. Contohnya, apabila saya meminati muzik, walau bagaimana sukar sekalipun, saya tetap akan gigih berusaha untuk menjadi si pandai dalam arena muzik. Jika saya meminati bidang penulisan, walau bagaimana dikutuk sekalipun saya tetap akan menulis. Jika saya meminati bidang kejuruteraan, payah bagaimana sekalipun saya sukar untuk mengaku kalah. Semangat akan terus berkobar-kobar. Mengapa? Kerana di situ minat saya!

Ada orang dipaksa belajar undang-undang tanpa minat yang lahir dari hati. Belajar punya belajar punya belajar, gagal sekali. Tak mengapa, difikirnya mahu berusaha sekali lagi. Belajar dan belajar dan belajar, kemudian gagal sekali lagi. Kali ini semangat terus hilang menyepi. Tiada pendorong untuk terus berusaha. Kenapa? Kerana tiada minat.

Saya bagi contoh, jika anda mengajak seorang kawan yang bukan penggemar play station untuk bermain play station bersama anda, barangkali dia akan menerima pelawaan anda. Kemudian selepas kalah sekali atau dua kali, apabila anda ajaknya untuk terus mencuba, dia hanya akan sengih-sengih dan berkata, "Tak pelah. Kau mainlah. Aku malas! Tak best!"

Tetapi, situasi akan berbeza jika kawan yang anda ajak untuk bermain play station bersama anda itu adalah seorang penggemar/peminat permainan video play station. Walaupun dia kalah sekali, dua kali, tiga kali, dia akan terus mencuba dan mencuba. Habis-habis pun dia akan kata, "Ish! Tak puas hati betul aku. Tak de, tak de. Aku repeat game ni!", dengan penuh keterujaan untuk mencuba lagi dan lagi.

Nampak tak bezanya antara usaha orang yang ada minat dan tiada minat? Jelas, bukan?

Luahkan, anda akan cipta perubahan!

Saya percaya bahawa kita perlu jujur pada diri sendiri. Luahkan jika tidak suka, jangan biarkan diri terus terseksa. Untuk apa dipaksa kalau memang itu bukan bidang kita, kan?

Tapi kita selalu tersekat dalam suasana 'Ditelan mati emak, diluah mati bapa'. Sampai bila perasaan ini akan menghantui diri kita sedangkan kita mahu mencipta jaya untuk hidup kita sendiri? Kita mahu merasai kepuasan melakukan sesuatu dalam bidang yang kita suka, bukan? Ya, jangan nafikan. Itu fitrah kita. 

Luahkan. Berterus-teranglah sekiranya kita yakin, sedar dan tahu bahawa apa yang diharapkan, tidak akan mampu kita usahakan. Jangan nanti kita jadi seperti 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'. Masa terbuang, habuk pun tadak. Rugi.

Semenjak kecil, Abah saya sentiasa mahukan saya menjadi seorang Doktor. Abah saya percaya bahawa profesyen sebagai seorang Doktor adalah profesyen tertinggi di dalam semua bidang. Saya dihantar ke sekolah berasrama, disarankan memasuki aliran sains malah ke Maktab Rendah Sains MARA yang memang bidang khususnya adalah sains. Langkah-langkah yang saya lalui adalah langkah-langkah yang pernah dilalui oleh 2 orang kakak saya yang juga doktor. Abah saya benar-benar berharap agar saya mampu menjadi si doktor ketiga dalam keluarga kecil kami. (Tamak benar, bukan?hehe)

Mulanya saya fikir, 'Inilah masanya untuk aku buat Abah bangga, tunaikan harapan dan impian dia'. Walhal saya tidak meminatinya. Saya masih ingat selepas keputusan SPM keluar, saya memohon UPU dan kursus-kursus pilihan saya semuanya adalah Undang-undang! 

Dalam masa sama, Program Matrikulasi Kementerian juga saya mohon, sebagai percubaan memenuhi impian Abah. UPU yang saya apply adalah sebagai memenuhi harapan dan impian sendiri. 

Apabila tiba masa untuk tawaran sambung belajar, keputusan permohonan Matrikulasi keluar terlebih dahulu berbanding permohonan UPU. Dan ketika itu, sesiapa yang mendaftar untuk Matrikulasi, secara automatik permohonan UPUnya akan dibatalkan. 

Seksanya batin ketika itu. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk ke Matrikulasi. Maka duduklah saya di dalam kuliah sains bio dengan cita-cita mampu menggapai impian Abah untuk saya menjadi seorang doktor. Abah sentiasa yakin, kalau kakak-kakak saya boleh buat, kenapa tidak saya?

Adakah saya sukses? Semestinya tidak!

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan. Akhirnya tiba musim peperiksaan semester pertama. Ah! Saya tidak yakin saya akan berjaya walaupun harapan saya menggunung tinggi!

Telahan saya tepat. Keputusan peperiksaan semester 1 saya, seingat saya lebih kurang 1.86 (CGPA) atau mungkin lebih rendah daripada itu. Status keputusan saya ketika itu adalah Lulus Bersyarat. Bagaimana mahu menggapai impian dan harapan Abah?

Dare to take the risk??

Yakin bahawa dengan keputusan sedemikian, memang takkan mampu saya usahakan untuk bidang perubatan, malah untuk bidang-bidang lain pun belum tentu lagi walaupun saya berusaha sebaiknya untuk semester 2 (iaitu semester akhir matrikulasi) saya, maka saya berazam untuk meletakkan noktah kepada percubaan membahagiakan Abah ini dan berpijak di bumi nyata. Saya mahu menjadi saya kerana saya. 

Satu hari saya telefon Abah. Saya katakan, "Abah, saya mahu quit Matriks". Mendengarnya, suara Abah terus keras. Saya cuba jelaskan, bahawa keputusan saya sekian sekian dan tiada harapan untuk saya lagi. Saya juga tak mahu kemudiannya hanya dapat buat kursus yang direject oleh orang lain semata-mata untuk mendapat tempat menyambung Ijazah. Saya tidak mahu! 

Tahu apa Abah saya kata? Dia kata, "Selagi kau tak kena buang, kau belajar dekat situ!"

Benar, memang keras hati seorang ayah. 

Tahu apa saya balas? "Saya tak kira, saya kata nak quit, saya tetap akan quit! Saya manusia bermaruah, saya rela undur diri sebelum kena buang!"

Perbualan menjadi sedikit tegang atas dua faktor. Pertama kedegilan anak. Kedua ego seorang ayah

Tetapi, inilah harga yang perlu saya bayar. Saya tahu saya boleh buat sesuatu yang lebih baik jika saya diberi peluang untuk berjuang di dalam bidang yang menjadi minat saya. 

Oh ya. Hasil daripada perbualan tegang tersebut, saya kalah sebenarnya. Matrikulasi saya jauh di utara. Andai saya mahu angkat kaki dan lari pun saya tak mampu lakukannya sendiri. Barang-barang saya, buku-buku saya, diri saya lagi. Tak termampu.

Namun, satu hari saya pulang ke Kuala Lumpur kerana perkahwinan Abang saya. Nah! Inilah peluangnya. Sekali lagi saya argue dan berbalas tembakan. Lebih teruk lagi kali ini bukan hanya dengan Abah, tapi dengan kakak-kakak juga. 

Saya tetap berdegil untuk tidak meneruskan pengajian di Matrikulasi. Saya katakan kepada mereka, "I am not going back there!". Percaya atau tidak, saya benar-benar tidak pulang ke Matrikulasi saya selepas majlis perkahwinan abang saya! I dare to take the risk!

Kritikan demi kritikan, hentaman demi hentaman saya terima. Sehinggalah kakak sulung saya mencabar dengan berkata, "Hey, once you are a quiter, you are a loser forever!". Saya sentiasa ingat yang ini. Saya telan kritikan itu.

Sampailah saat semuanya orang habis daya untuk memaksa, lalu suatu hari Abah bertanya; "Ok. Kalau kamu mahu quit, apa perancangan kamu??". Nah! Inilah masanya. Saya bentangkan satu demi satu perancangan yang bermain di fikiran. Sehinggalah saya berjaya meyakinkan semua orang.

Setelah semua orang bersetuju dengan keputusan saya, akhirnya Abah saya jugalah yang memandu saya ke Utara tanah air untuk menyelesaikan urusan berhenti belajar secara rasmi dan mengangkut segala barang saya.hehe

Banyak risiko yang perlu diambil. Mulanya saya fikir akan ada rezeki saya untuk bersaing dalam permohonan UPU kali kedua untuk tahun berikutnya. Rupanya tidak semudah yang disangka. Permohonan demi permohonan ditolak, rayuan demi rayuan tidak dipandang. Saya belajar tentang hidup, saya belajar bahawa untuk berjaya, bukan semudah yang saya sangka!

Perancangan Allah swt yang terbaik!

Sehinggalah saya bertekad untuk mendaftar di MMU. "Law dekat MMU? Recognized ke?". Benar, memang itulah respons-respons yang kerap saya terima. Semuanya menjatuhkan semangat. Tapi, minat punya pasal saya abaikan semua pendapat tidak berasas itu. Saya percaya, Allah akan berikan yang terbaik buat saya.

Untuk memulakan perjalanan di MMU juga bukan satu perkara yang mudah. Sebelum mendaftar, saya tahu saya perlu mencari duit barang seringgit dua buat persediaan. Saya sudah cukup tertampar dengan kondisi diri yang saya sendiri lihat sebagai beban kepada keluarga. Lantas saya gigih mencari kerja. Akhirnya, duit yang terkumpul itulah saya gunakan untuk mendaftar di MMU. 

Bukan mudah memulakan Asasi Undang-undang pada usia 20 tahun, dalam kapasiti otak yang KOSONG pengetahuan tentang Undang-undang. Minat tapi Zero knowledge. But hey, itulah cabarannya!

Dan memang benar, perancangan Allah swt itulah yang terbaik. Saya tidak pernah merancang untuk mempunyai kehidupan yang super awesome di MMU. Walhal, MMU adalah pilihan TERAKHIR saya untuk bidang ini. Tetapi, Allah mempermudahkan segalanya. Dia beri saya segalanya, walaupun tidak pernah saya terlintas di fikiran untuk meminta. Saya hanya minta dipermudahkan urusan belajar saya, Dia beri saya kemudahan lebih daripada pelajaran saya. Dia beri saya kasih sayang di MMU, Dia beri saya kehidupan sebenar, Dia beri saya tarbiyyah terbesar, Dia beri saya hidayah, Dia beri saya keluarga!

Belum berjaya, tetapi akan tetap terus.

Sekarang, saya masih belum berjaya. Tetapi saya akan terus berusaha. Bergelar Graduan Undang-undang mungkin kurang membanggakan, tidak seperti bergelar Graduan Perubatan yang menyandang gelaran Dr. di pangkal nama. Namun, saya percaya untuk membahagiakan ibu bapa bukan semata-mata tulisan di atas sekeping Ijazah, tetapi ia lebih daripada itu. Peluang membahagiakan mereka tetap dan terus ada selagi mereka dan kita bernafas di dunia. Malah, andai tiba masa mereka menutup mata, kita masih mampu membahagiakan mereka di sana dengan ingatan dan doa tulus ikhlas bergelar si Soleh dan Solehah.
"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya."
(H/R Bukhari, Tarmizi, Hambali, Ahmad dan an-Nasaii)

Segala yang baik adalah nikmat kurniaan Allah. Tiada satupun milik mutlak saya. Segalanya adalah pinjaman. Dan terima kasih ya Allah di atas kurniaan-kurniaan ini. 

Alhamdulillah.

Jadi, jika anda mahu mengubah hidup, luahkan! Dan, dare to take the risks!
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."

(Al-Ra'd : 11)