Motivasi adalah ibarat makanan asas untuk setiap individu. Anda, saya, kawan-kawan anda dan saya, pakcik, makcik, atuk, nenek dan semua orang. Tahap motivasi yang dimiliki seseorang membezakan dia dan orang lain. Ianya boleh dilihat melalui tindakan kita setiap masa.
Orang yang bermotivasi, akan bangkit dari tidur dengan perasaan segar dan sentiasa bersedia untuk ke pejabat atau ke kelas atau ke mana sahaja urusannya. Orang yang tiada atau kurang motivasi, akan bangkit dari tidur dengan perasaan lemau, malas dan layu. Terasa berat sekali untuk bangkit dan bersiap sedia untuk ke kelas atau ke pejabat. Itulah impak nilai motivasi pada diri seseorang individu. Tetapi, kita selalu memandang remeh keperluan motivasi kepada kita.
Tidak semua orang melihat motivasi diri sebagai sesuatu yang sangat penting untuk kehidupannya. Ramai antara kita yang syok sendiri atau perasan kononnya ‘aku sudah cukup hebat!’ atau ‘aku tahu apa yang aku mahu!’ dan sebagainya. Hasilnya, dia sekadar statik di posisinya, tanpa kemajuan, tanpa perubahan. Ayuh audit diri kita, adakah kita juga begitu?
Ramai orang tertanya-tanya, bagaimana untuk memiliki motivasi diri yang tinggi? Orang buat tak baik pada kita, kita relax dan cool sahaja. Orang marah kita, kita tenang sahaja. Orang maki kita, kita sabar dan kunci mulut sahaja. Orang kutuk kita, kita senyum sahaja. Lebih baik jika apabila diperlakukan sebegitu rupa, kita ucapkan Alhamdulillah.
Ya, bukan mudah. Kalau logik fikiran orang kebanyakan akan beranggap, ‘Bodoh. Orang maki kau diam je. Memang bodoh!’.
Adakah benar kita bodoh?
Menurut saya, tidak. Kita, apabila yakin dan percaya atas apa yang kita lalui setiap waktu sebagai aturan Allah swt, kita akan lebih berlapang dada atas setiap apa yang kita lalui. Kita akan lebih bermotivasi lantas menjadi seorang yang lebih tenang dan damai hatinya.
Memanglah bukan mudah. Kenapa? Kerana kita tidak memujuk hati dan fikiran kita dengan motivasi diri yang tinggi. Kita terlalu memanjakan hati dan fikiran kita dengan input-input negatif. Contohnya, ‘Aku tak rasa aku boleh buat benda ni. Susah betul ni!’. Walhal kita tak cuba lagi, kita dah mengalah. Lihatlah betapa kita tinggalkan motivasi jauh di belakang.
Contoh lain betapa negatifnya pemikiran kita adalah seperti: ‘Dia ni pandang aku satu macam mesti sebab dia dengki dengan aku sebab markah aku tinggi. Aku tak boleh buat baik dengan orang macam ni!’. Itu tanggapan negatif semata-mata. Dalam diam syaitan bertepuk tangan, hoorey hoorey kerana berjaya mempengaruhi fikiran kita. Yang kalah adalah kita. Ya, kita.
Sekadar mahu kongsikan apakah perkara yang wajar kita lakukan untuk meningkatkan motivasi diri. Semoga bermanfaat untuk saya dan rakan-rakan semua!
- Bisikkan kepada diri sendiri setiap hari bahawa, ‘aku seorang yang positif dan bermotivasi tinggi’. Jadikan diri kita sebagai inspirasi setiap orang sebaiknya.
- Banyakkan membaca bahan motivasi contohnya buku-buku motivasi, cerpen motivasi, mendengar perkongsian motivasi di radio contohnya ataupun menonton perkongsian motivasi di TV atau internet.
- Banyakkan menulis perkara-perkara positif walaupun kita tahu pada waktu itu kita masih ada rasa sedih, kecewa, dan sebagainya. Jika mempunyai akaun Twitter atau FB, kurangkan keluhan tapi perbanyakkan kata-kata positif. Lama kelamaan ia akan sebati dengan diri kita.
- Berkawanlah dengan orang-orang yang positif dan bermotivasi tinggi. Kurangkan berkawan dengan orang yang suka mengeluh, complaint, selalu bersedih, kurang bersyukur, dan berfikiran negatif. Kerana kawan-kawan begini akan mempengaruhi kita. Jadi, pilih kawan yang betul!
- Perbanyakkan amal ibadat kepada Allah swt. Jaga solat fardhu, amalkan solat sunat, perbanyakkan mengingati Allah dan membaca Al Quran. InsyaAllah amal ibadat begini akan selalu membuatkan jiwa kita tenang dan sekaligus menjadikan kita orang yang positif dan bermotivasi.
- Tanamkan azam untuk menjadi manusia yang bermanfaat dan mampu memanfaatkan orang lain. Sekiranya ini azam kita, semestinya kita lebih bersemangat untuk menjadi lebih baik dan lebih baik.
- Banyakkan berserah diri kepada Allah swt. Kerana rasa sedih, kecewa, sakit, gembira, suka, bahagia, semuanya Dia yang campakkan ke dada kita.
Semoga bermanfaat untuk anda dan saya. Selamat beramal. Assalamualaikum!