Hari ini saya terbaca satu penulisan ringkas oleh Presiden ABIM yang menimbulkan persoalan atau tanda tanya kepada saya, ‘adakah benar kualiti kepimpinan ibu bapa yang semakin merosot menjadi punca gejala maksiat berleluasa hari ini?’
Apakah buktinya masalah sosial ataupun gejala maksiat semakin meruncing hari ini? Tahukah anda bahawa berdasarkan laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), anak tidak sah taraf yang didaftarkan sehingga 2010 berjumlah 234,647 orang. Dan lebih malang lagi, daripada jumlah ini, 80,979 atau 34.5 peratus adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam. Apa sudah jadi? Salah siapa semua ini?
Saya fikir, inilah masanya untuk kita sama-sama asah minda dan fikir sedalam-dalamnya. Adakah sebagai Muslimin dan Muslimah muda hari ini, kita hanya ingin terus hanyut dibawa arus kemodenan? Kita perlu berdiri di atas dunia realiti. Kalau hari ini, gejala maksiat yang menghurung kehidupan kita khususnya Muslim sudah sampai tahap kronik seperti ini, cuba kita bayangkan bagaimana pula keadaannya dalam generasi anak-cucu kita nanti. Adakah kita mahu anak cucu kita menjadi golongan majoriti menempah tiket ke neraka? Nauzubillah.
Bila bercakap soal kepimpinan ibu bapa, sebenarnya yang paling layak untuk berbicara adalah golongan ibu bapa sendiri. Tidak adil untuk yang muda belia seperti saya mengadili kepimpinan mereka. Walaubagaimanapun, kalau kita lihat secara amnya, beberapa perkara boleh disimpulkan.
Pendidikan Agama
Tanyalah mana-mana agama sekalipun baik Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya, tidak ada satu agama pun yang mengajak penganutnya melakukan kejahatan. Semua agama mengajar kepada kebaikan. Kalau dalam Islam kita sering ditekankan dengan prinsip suci “Amar Maa’ruf Nahi Munkar”. Tapi, sekadar bicara menghiasi bibir, dalam tindakan jauh sekali. Tinggal retorik semata.
Dalam kebanyakan kelompok keluarga hari ini, agak sukar untuk kita temui ibu bapa yang masih mendidik anak-anak dengan pendekatan agama yang kuat. Memang masih ada tapi saya kira peratusannya rendah. Contohnya, hari ini berapa ramai antara kita yang mendisiplinkan keluarga dengan rutin Solat Berjemaah bersama-sama? Jangan kata Solat Berjemaah mengharapkan si bapa menjadi Imam, malah ada yang lebih malang apabila tidak pernah langsung melihat ibu atau bapa mendirikan Solat. Ini memberi kesan buruk dalam pembangunan kualiti modal insan anak-anak.
Selain daripada itu, hari ini berapa ramai anak-anak yang setiap hari akan berjalan kaki ataupun mengayuh basikal ke surau ataupun rumah ustaz/ustazah untuk mengaji Muqaddam dan seterusnya Al-Quran? Dunia jauh berbeza. Kalau dahulu, setiap hari selepas Solat Maghrib di rumah, anak-anak akan menyusun langkah menuju tempat mengaji, kalau dulu anak-anak berlumba-lumba untuk khatam Al-Quran semuda mungkin, sebanyak mungkin, kalau dulu ibu bapa sangat teruja untuk merencanakan majlis khatam Quran untuk anak-anak. Tapi, hari ini di mana nilai semua itu? Yang tersisa hanyalah majlis khatam Quran di sebelah pagi sebelum pernikahan si anak dara. Allahuakbar..
Tekanan Ekonomi
Kadang-kadang kalau bercakap soal kualiti ibu bapa, ia kelihatan agak sensitif. Lagi-lagi apabila yang mengupas isu ini bukan langsung daripada golongan ibu bapa. Tapi, isu itu perlu dilihat sebagai satu usaha baik untuk mengetuk minda golongan muda hari ini, yang esok lusa bakal bergelar ibu bapa yang bakal memimpin dan mendidik anak-anak kecil pewaris bangsa dan agama, untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia dalam memikul tanggungjawab yang maha hebat sebagai ibu dan bapa.
Sedarkah kita, hari ini dalam persaingan hebat yang berlaku sekeliling kita, kita berkejar-kejaran untuk mencapai keputusan cemerlang, mendapat pekerjaan yang gemilang dan memperolehi gaji terbilang tetapi sayang sekali di sebalik kekayaan yang terkumpul, anak-anak terbiar kesepian di rumah.
Ibu bapa asyik mengejar kemewahan dan kesenangan. Benar, segala usaha untuk kesenangan seisi keluarga. Tetapi adakah niat ini boleh menghalalkan tindakan ibu bapa untuk melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada orang gaji ataupun pengasuh taska ataupun jiran sebelah rumah? Mari duduk muhasabah diri, mari fikir sejenak. Apabila si ayah terlalu sibuk di pejabat, jam 7 pagi sudah meredah kesibukan jalan raya untuk ke tempat kerja tatkala anak-anak masih terpisat-pisat untuk bangun dan bersiap ke sekolah yang diuruskan oleh orang gaji. Apabila si ibu sibuk di pejabat bermesyuarat membentang idea itu dan ini sehingga terlupa anak-anak semakin kebuluran merindui masakan atau air tangan bonda. Yang tertinggal hanyalah orang gaji yang kadang-kadang tidak dianggap famili malah lebih hina dari kuli. Jadi, siapa yang perlu menjadi contoh terbaik untuk anak-anak zaman ini?
Kita semakin kaya dengan ilmu dunia, kita semakin kaya dengan harta, kita semakin petah berbicara, kita semakin hebat mencipta propaganda tapi kita lupa, kita punya tanggungjawab mendidik anak-anak untuk menjadi manusia dan hambaNya yang berguna. Jadi, salah siapa?
Pekakah Ibu Bapa?
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, “pelik gila anak dia mengandung mak bapak dia tak tau!” ataupun “Biar benar, takkan mengandung 7-8 bulan mak bapak dia tak perasan?”dan sebagainya. Memang wajar untuk kita tertanya-tanya ‘keajaiban’ yang berlaku dalam dunia hari ini. Adakah ini menampakkan bukti bahawa ibu bapa hari ini kurang peka?
Kalau dulu, anak-anak pakai baju singkat sikit mulalah ibu atau bapa membebel ataupun sound direct seperti, “Minah, kau ni tak de baju lain ke nak pakai? Elok sangat lah tu!” ataupun “Siti, kau pergi tukar baju sekarang. Kalau tak, jangan keluar rumah!” dan sebagainya. Hari ini macam mana?
Dunia hari ini memilih pendekatan yang berbeza, nampaknya. Kalau anak-anak pakai baju singkat, terdedah sana terbelah sini, terkoyak rabak sana, tergelebeh sini, ibu bapa mungkin kata, “Biasalah tu, budak-budak. Diorang nak juga merasa berfesyen”. Masalahnya kita yang melihat ini semakin juling mata semakin sesak dada semakin sakit jiwa. Betul kan?
Ibu bapa hari ini perlu lebih kuat dalam mendidik anak-anak. Anak-anak hari ini perlu di-follow-up selalu. Kalau ibu bapa lalai ataupun tidak peka, alamatnya esok lusa janganlah menangis kalau menerima panggilan telefon bersama rayuan anak-anak minta dijamin kerana ditangkap basah, atau jangan pula pengsan bila menerima panggilan telefon pihak berkuasa memaklumkan anak tersayang meninggal dunia di jalan yang lurus kerana merempit atau jangan pula diserang sakit jantung akibat tidak dapat menerima hakikat anak anda akan mati ditali gantung akibat dadah. Atau jangan pula sesak nafas bila terpaksa membela cucu sendiri dalam keadaan tidak bermenantu.
Sebab itu pentingnya untuk ibu bapa sentiasa peka dengan perubahan anak-anak. Jangan terlalu taksub mengejar reputasi di tempat kerja sampai anak tak reti Solat pun kita tak kisah. Jangan terlalu ‘sempoi’ sampai jiran complaint anak kita buat maksiat pun kita sekadar angguk kepala dan buat tak endah. Jangan sampai anak mengusung perut membawa satu lagi nyawa pun kita tak tahu. Jangan, jangan. Jangan tidak peka. Biar anak-anak naik pekak dengan nasihat dan bebelan, jangan kita naik pekak dengan cacian dan tohmahan.
Anak-anak Bekal ke Akhirat
Satu perkara, perlu kita sentiasa ingat. Anak-anak ini ibarat tanaman kita. Apa yang ditanam, itulah yang dipetik. Tiada tanaman, tiadalah hasil.
Semua orang tahu bahawa apabila seorang anak adam itu meninggal dunia terputuslah segala amalannya kecuali, hanya 3 perkara yang dibawa menjadi bekal ke akhirat. Pertama, amal kebajikan. Kedua, ilmu yang bermanfaat dan Ketiga, doa anak-anak yang soleh. Jadi, kalau anak-anak tidak dididik dengan betul, maka menangis pun tak guna bila diakhirat nanti kita berjalan kosong tanpa bekalan doa anak-anak yang Soleh.
Untuk yang masih muda remaja, inilah masanya untuk kita fikir-fikir dan renung-renungkan. Kalau-kalau terasa tidak mahu menanggung derita mempunyai anak yang ‘luar biasa’ liarnya, maka hari ini sebagai anak janganlah kita bertindak luar biasa liar. Kerana apa? Kerana percayalah, Allah itu Maha Adil. Kalau dipulangkan paku buah keras, jangan menyesal pula esok hari.
Untuk yang bergelar ibu bapa, bolehlah mula merancang atau me-revise strategi terbaik dalam membentuk kualiti diri anak-anak. Ingat, duit, pangkat, kemewahan tidak menjamin peribadi mulia anak-anak.
Untuk Abah dan Umie saya, terima kasih kerana mendidik dengan resipi kasih sayang ibu bapa yang berintipatikan rotan, bebelan, pujian, kematangan dan sebagainya sehingga kami berupaya berfikir waras dalam tindakan, sehingga kami mampu mencipta benteng prinsip nilai diri dalam kehidupan, sehingga kami tidak berkeinginan untuk meliar di jalanan. Terima Kasih.
p/s: Artikel penulisan Presiden ABIM boleh diintai tengok di sini.