Selasa, 13 Disember 2011

Jangan pandang belakang.


Situasi 1:

Mak Ayah selalu berpesan; "Belajar rajin-rajin. Jangan gatal-gatal nak bercinta. Dapatkan Ijazah dulu.."

Biasanya, ayat-ayat Mak Ayah ni lebih kurang sama, cuma mungkin intonasi sahaja berbeza. Ada yang berlembut, ada yang sedikit keras, ada yang seperti mengugut. Tapi yang penting hasrat dan niat mereka sama. Mahu anak berjaya, mahu anak jadi orang berguna yang apabila berjaya kelak boleh membanggakan keluarga.

Tapi kita ikut tak pesan Mak Ayah?

Kita pilih untuk tidak belajar bersungguh-sungguh. Kita pilih untuk bercinta, bermain manis kata, berSMS sampai tengah malam buta. Kita kata kita berkongsi cerita-cerita agama, tapi sebenarnya kita syok sangat berjenaka, berkongsi cerita. Biarpun si gadis atau jejaka tiada di depan mata.

Lepas itu apa jadi? Lepas tu kita hanyut, kita lalai, pelajaran terganggu, peperiksaan kita tak cemerlang. Assignment kita dapat markah teruk. Lantas kita mengamuk. Kita kata lecturer yang busuk hati, yang tak berhati perut, sengaja mahu kita gagal. Aduh.

Masalah oh masalah.

Situasi 2:

Mak selalu pesan; "Ali, ingat ye. Mak Ayah hantar kau masuk belajar di sini sebab kami nak kau belajar betul-betul. Jadi orang berjaya, supaya hidup kau senang nanti. Fokus belajar. Jangan buang masa buat benda lain.."

Selalunya harapan dan pesanan Mak Ayah akan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Kita jarang nak rasa tersentuh dan insaf dengan pesanan Mak Ayah. Mungkin sebab kita selalu sangat dengar, kita rasa bosan. Mungkin.

Bila pesanan tu sekadar dibawa angin lalu, mulalah kita tak sedar diri. Kita tak belajar sangat, kita sibuk ber-huha-huha dengan 'sahabat sehidup mati' kononnya. Sahabat 'susah senang sama-sama' kononnya. Seronok ke hulu ke hilir bersama, sama-sama sangkut belajar, sama-sama jalan-jalan tinggal sembahyang, sama-sama perabih duit Mak Ayah, sama-sama berprogram sampai lupa keutamaan belajar, sama-sama semuanya. 

Ada kita ingat pesan Mak Ayah? Oh, malangnya tiada. Kita selesa menikmati kehidupan belajar dengan cara kita.

Lepas itu apa jadi?

Kita tertekan apabila duit yuran semakin banyak tertunggak, menandakan banyak kali dah kita membazir duit dengan mengejar 'Special Exam'.
Kita bengang apabila Mak Ayah dah start bising bertanya 'Bila kau nak habis belajar ni, Siti??'
Kita marah bila lecturer asyik perli dalam kelas bila tengok muka 'senior' macam kita ni.
Kita benci nak melayan persoalan kawan-kawan, 'kau bila habis?'
Kita berbulu tengok orang grad, kita tak grad-grad.
Kita cemburu tengok orang dah ada duit sendiri, kita masih sengkek hidup di Universiti.
Dan paling sedih bila..
Kita dapat warning, sikit lagi kita nak kena terminate.
Kita dapat tahu yang PTPTN / Scholar kita kena tarik.
Kita rasa kita tak mampu lagi teruskan sesi belajar di Universiti.

Habis itu apa pilihan yang kita ada?

Pertama sekali, kita jangan menangis di bahu rakan. Tapi, menangislah di hadapan Tuhan, di atas tikar sejadah. Menyesal pun tiada guna kerana kita yang alpa, kita yang lupa. Kita fikir keseronokan bercinta atau bersuka ria adalah segala-galanya. Rupa-rupanya kita silap. 

Kedua, fikir masak-masak apa perancangan masa depan yang kita fikir, mampu untuk kita capai dalam situasi yang sesak sebegitu. Contohnya kalau fikir masih mahu teruskan belajar, bulatkan hati, pasang tekad yang sebenar-benar tekad, belajar sungguh-sungguh. Tolak tepi percintaan, tolak tepi hiburan, tolak tepi program. 100% belajar.

Atau kalau kita rasa kita tak mampu lagi belajar, kita mahu bekerja. Bulatkan fokus, mula buat perancangan, di mana mahu mencari rezeki buat permulaan.

Ketiga, baliklah rumah, bersua dengan Mak dan Ayah. Berterus-teranglah. Sahabat saya pernah berkongsi tips untuk mencairkan hati ibu bapa. Kata beliau, sebelum kita buka mulut menyatakan masalah, kita duduk dekat-dekat dengan ibu atau ayah, pegang tangan mereka, gosok-gosok tangan mereka, peluk-peluk mereka dan mulakan cerita secara perlahan-lahan dan tenang. InsyaAllah hati mereka juga akan tenang. 

Tapi pastikan apabila berterus terang dengan Mak Ayah, masa itu kita memang sudah pasti dengan apa yang kita rancangkan namun masih membuka ruang untuk pendapat dan nasihat mereka. Jangan jumpa mereka bawa masalah dan mengharapkan mereka untuk menyelesaikan masalah kita. Amat tidak matang di situ.

Keempat, lakukanlah Istikharah, minta Allah swt beri petunjuk apakah pilihan terbaik yang perlu kita lakukan demi mendapatkan kehidupan yang lebih lancar akan datang setelah masalah demi masalah ditempuhi.

Kelima, move on. Jangan pandang belakang.

Hidup memang begini, ada pasang surut. Ada susah senang. Ada naik turun. Ada jatuh bangun.

Memang kata orang, 'orang berjaya adalah setelah dia gagal, dia bangkit'. Betul. 

Tapi kalau dah banyak kali sangat tersungkur jatuh dan tidak belajar dari kesilapan, nak salahkan siapa? Salahkan diri sendiri. 

Apapun yang berlaku, hidup kita, kita yang perlu perjuangkan. Jangan salahkan orang lain mahupun dunia sekeliling kerana selagi mana kita menuding jari kepada yang lain, selagi itu kita takkan maju, tak kan berjaya. Dan itulah kesilapan terbesar kita apabila asyik menuding jari kepada yang lain.

Ayuh, kita muhasabah diri!

Tiada ulasan: