Sempena musim peperiksaan akhir di MMU, saya mencari semangat untuk menulis di blog ini. Lama tidak berkongsi inspirasi, bukan kerana sombong meninggi diri. Cuma kesibukan dalam kehidupan hari ini yang sedikit menyekat peluang untuk berkongsi dan sekatan paling utama, tidak lain tidak bukan adalah MASA.
Alhamdulillah, pejam celik sudah hampir setahun saya menutup tirai sesi pembelajaran di MMU, dalam jurusan Undang-undang secara khusus. Banyak yang dipelajari, banyak yang dibenci, banyak juga yang dirindui. Setiap kali musim peperiksaan, tiba-tiba menjadi rajin serta-merta sehingga sanggup ‘stay up’, sanggup lewat makan, sanggup deactivate Facebook dan sebagainya. Kenapa? Kerana situasi memaksa.
Kita memang dididik dan dicerahkan dengan ideology untuk study di saat akhir. Alasannya kerana tak sempat nak study dari awal atau kalau study di akhir-akhir baru ada mood dan dapat ‘feel’. Benarkah?
Sehingga hari ini saya sendiri masih belum berjaya merubah habit study di saat-saat akhir ini. Alhamdulillah, setakat pengalaman 5 tahun belajar di MMU sebelum ini, study di saat akhir sedikit-sebanyak boleh juga membantu untuk menjawab peperiksaan dengan baik. Cuma jika study lebih awal, pastinya beroleh keputusan yang lebih baik, bukan?
Pada hemah saya, tidak menjadi masalah untuk study sedari awal kelas bermula ataupun di saat akhir sekiranya kita benar-benar mengenal potensi diri serta tahu kesibukan kita sendiri. Makna kata, jika kita tahu bahawa kita mengalami masalah untuk memahami sesuatu dengan cepat dan untuk memahami sesuatu kita perlu untuk mengulangi pembacaan beberapa kali, maka eloklah kita mengulangkaji dari awal. Setidak-tidaknya sediakan nota ringkas atau ‘mind map’ untuk kemudahan sesi pemahaman kita. Tetapi jika kita sanggup ‘kamikaze’, study di saat akhir dan yakin diri sendiri mudah untuk ‘tangkap’ atau memahami sesuatu dengan agak pantas, dipersilakan untuk study di saat akhir.
Contoh Mind Map. [Kredit gambar] |
Ketika belajar di MMU dulu, saya mempunyai seorang housemate merangkap classmate yang sangat tekun dan sistematik di dalam belajar. Setiap subjek dan setiap chapter, dia pasti akan menyediakan nota ringkas berbentuk Mind Map seawal yang mungkin. Jika topik tersebut dipelajari dalam hari ini, selewat-lewatnya sekitar hujung minggu Mind Map untuk topik tersebut pasti sudah tersedia. Saya selalu juga mengusiknya, ‘You ni skema lah! Rajin gila!’. Dia selalu menjawab, ‘You tak pelah you boleh catch up kalau study last minute. I tak boleh. I kena baca banyak kali Mek untuk faham’.
Saya masih ingat ketika saya Foundation sehingga Tahun Satu di peringkat Ijazah, saya sangat rajin menyedia Mind Map. Ketika itu sahabat saya ini selalu bertanya bagaimana untuk menyediakan Mind Map. Saya berkongsi dengannya dan nyata dia mengaplikasikannya sehingga semester akhir tahun akhir di MMU. In fact, di saat saya sudah mula perlahan-lahan tidak konsisten dalam penyediaan nota ringkas, dia tetap istiqamah di dalam sistemnya. Hasilnya, walaupun dia merasakan dia tidak lekas ‘tangkap’, dia mendapat keputusan yang jauh lebih baik.
Kenapa? Kerana inilah janji Allah swt bahawa Dia akan memberi kita setimpal dengan usaha kita. Kini sahabat saya tersebut sedang melanjutkan pelajaran di UK dalam bidang Sarjana. Hebat bukan?
Mengenali potensi diri memang penting namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita memberi ‘diskaun’ dalam usaha kita untuk menjayakan sesuatu.
Selain daripada itu, kita perlu meletakkan diri kita di dalam persekitaran yang sihat. Bererti, sekiranya mahu cemerlang dalam peperiksaan, perlu membuat persediaan bersama-sama dengan orang yang berusaha untuk cemerlang. Mahu atau tidak kita perlu percaya dengan aura atau cas-cas positif yang dapat kita terima daripada orang-orang sekeliling yang positif. Melihat teman sebelajar study dengan penuh bersungguh-sungguh, kita akan terpanggil untuk bersungguh-sungguh juga. Namun jika kita membiarkan diri kita dibuai dengan suasana malas dan lesu daripada orang sekeliling, sama seperti kita mempersiapkan diri kita untuk mendapat keputusan yang lesu juga.
Fungsi sahabat sangat besar. Bukan semata untuk bercerita masalah ataupun menjadi teman berborak bila gembira. Bukan juga cukup sekadar menjadi teman pergi makan dan lepak minum. Tetapi fungsinya lebih daripada itu. Kita perlu mencari sahabat/teman yang boleh mengejutkan kita dari lena yang panjang. Musim peperiksaan menjelang, kita masih bermalas-malasan, teman-teman sudah mula mengangkat senjata untuk berperang namun dilihatnya kita masih lena, mereka sekadar berlalu pergi meninggalkan kita dengan mimpi kita di siang hari. Kata mereka di dalam hati, ‘Ah! Lantaklah. Janji aku study!’. Persoalannya, adakah mereka sahabat yang benar-benar sahabat?
Jawapan saya, mereka bukan! Mereka hanya kawan.
Jadi, sahabat itu bagaimana?
Sahabat itu ialah apabila mereka melihat kita masih lena dalam mimpi siang hari kita di saat musim ‘kecemasan’ telah tiba, mereka akan menjadi orang paling gigih mengejutkan kita dari lena. Mereka akan menjadi orang yang sudi memujuk kita untuk sama-sama bersiap sedia untuk mengangkat senjata. Mereka akan tidak sedap duduk untuk study dan cemerlang sendirian tanpa melihat kita berjuang bersama. Lebih indah lagi bila mereka berkongsi segala ilmu yang mereka punya di saat kita sangat-sangat memerlukan pencerahan daripada mereka.
Dalam erti kata lain, kalau teman kita itu kedekut ilmu, saya berani katakan, dia bukanlah sahabat yang benar-benar sahabat. Kalau dia cemburu melihat kita berjaya, dia bukan sahabat.
Tetapi, kalau dia bangga dan gembira dengan keputusan baik kita, dia seorang sahabat.
Jadi, sudah jumpa atau masih tercari-cari?
Sekiranya mahu berjumpa dengan sahabat yang benar-benar sahabat, maka kita perlu menjadi sahabat yang dicari-cari itu terdahulu.
Atau bagaimana?
Tepuk dada tanya selera.
Teringin diri ini berkongsi tips untuk belajar dan cemerlang, namun menyimpan hasrat memandangkan diri ini bukan pelajar cemerlang.hehe
Selamat maju jaya untuk kita semua. Semoga redha Allah swt sentiasa mengiringi tiap langkah kehidupan kita. Wallahualam. Wassalam
p/s: Kini adinda saya meneruskan perjuangan belajar di MMU. Saya mendoakan yang terbaik untuk kamu wahai Ahmad Azharul Nizam. Jadilah si hensem yang bijaksana! ;)