Rabu, 3 April 2013

Saat kau jatuh cinta

Tatkala kau masih remaja
Baru semalam kau bermimpi lalu baligh
Esoknya kau katakan, 'aku dewasa!'
Waktu itu yang kau kejar hanya cinta
Cinta pada si gadis buat si teruna
Cinta pada si jejaka buat si dara
Sungguhpun ayah bonda bicara 'jangan bercinta!'
Kau tetap melaung dan meraung berkata, 'ah! aku punya suka!'

Lalu kau berjalan
Dari perlahan seperti kekura
Sehingga selaju kilat di langit
Mencari dan mencari kalau ada yang terpana
Dek ayat manis yang kau sulam dari pinggir bibir mu

Nah! Sudah ada yang tersangkut di jerat miangmu
Gembira kau bukan kepalang
Lantas kau menjadi biasa dengan rasa angau dan rindu
Apa kau kisah dengan bisingnya ayah bondamu
Yang kau tahu cuma satu
Ucapan aku cinta atau aku rindu!

Saat kau jatuh cinta itu
Entah ke mana tanggungjawab kepada Tuhanmu
Entah hilang terbang cinta kepada ayah bondamu
Yang tertinggal hanya rasa ingin memperkenalkan si dia cinta hatimu
Walaupun masa itu ketiak engkau masih botak belum berbulu.

Gatalnya engkau, meluatnya aku.
Miangnya engkau, hanya Tuhan yang tahu.
Kau sikitpun tidak sedar malunya ayah bondamu
Melihat si anak mengheret ke sana sini buah hati nan satu
Buah hati yang kononnya cinta kan kamu
Buah hati yang bikin kau sasau dengan bicara i love you!

Hey! Kau tahu apa erti malu?
Pasti benar kau tidak tahu.
Kerana saat kau jatuh cinta itu
Yang kau fikir hanya mahu mengikut nafsu
Kau lupa si ayah si ibu menanggung malu
Kerana kau, lupa agama, lupa asal usulmu!

'Ah. Pedulilah!', kata kau
Jangan kau lupa
Kau masih muda
Nanti esok lusa bila kau dewasa yang benar benar dewasa
Pasti kau sesal, sehingga kau sebal
Dan kau akan pinta agar Tuhan padam semua kenangan miang mudamu
Kerana waktu itu baru kau jumpa definisi malu

Jangan khuatir
Waktu itu kau tiada lagi berharga
Caci maki manusia menyumpah meludah muka
Kau hanya perlu diam tunduk renung kaki lama-lama
Dan waktu itu percayalah
Aku mahu kata
Padanlah muka!
Siapa suruh jatuh cinta saat bulu ketiak belum ada??


Tiada ulasan: