Rabu, 3 April 2013

Selamat berpolitik dengan bersih.

Saya adalah manusia. Saya adalah rakyat Malaysia. Saya memegang kad pengenalan biru yang menandakan saya sebagai seorang warganegara Malaysia. 

Saya lahir di Malaysia. Saya berketurunan Melayu, saya tiada hubungan dengan Kiram dari Sulu. 

Walaupun kami hampir sama dan serupa, tangan kaki beroma berbulu. 
Eh! 

Dalam banyak-banyak isu yang saya baca, saya paling tiada nafsu pada isu politik. Bukan tidak ambil tahu. Ambil tahu. Wajib ambil tahu. Cuma, saya fikir saya perlu mengambil banyak tapak ke belakang dalam mengulas isu politik. 

Kerana saya runsing, benar-benar runsing. Kerana perbedaan ideologi, kerana ketidaksamaan dalam berparti, hubungan anak beranak, ahli keluarga, tergadai dan dijual beli. Benarlah, bukan parti atau politik itu sendiri yang bersalah. Tetapi, salah kitalah kerana gagal untuk meletakkan had dalam perbalahan dan dalam menyantuni perbedaan. 

Anak kita yang semakin dewasa kita tonjol kepalanya, kita ‘bodoh!’kan dia hanya kerana dia percaya bahawa Pakatan itu benar. 

Ayah yang sepatutnya dihormati kita ludah mukanya, hanya kerana dia percaya bahawa BN itulah satu-satu pakatan yang mampu melonjak-naikkan maruah Melayu dan Muslim seluruhnya. 

Ah. Pening. 

Maka oleh sebab itu saya jarakkan diri dalam menyentuh isu politik. Lihatlah blog saya, mana saya usik perihal politik. Lihatlah status FB saya, mana saya war-warkan siapa benar, siapa salah. Siapa yang meliwat, siapa yang diliwat. Siapa yang layak bergelar PM, siapa yang tidak layak. 

Namun ia tidak bermakna saya tidak mengambil tahu langsung isu politik. Saya membaca setiap hari tanpa jemu walaupun sebenarnya sangat jemu. Sangat menjemukan namun tidak boleh tidak, pengetahuan am itu wajib dicari. Sambil membaca, sambil menggeleng. Sambil membaca, sambil mengeluh seorang diri. Cukuplah. 

Dahulu, ketika belajar Constitutional Law, rajinlah juga saya nak memahami dan mendalami dengan kadar hebat perihal Perlembagaan, Parlimen, Dewan Negara dan segala isinya. Malah kecenderungan menghadami isu politik, isu perlembagaan memuncak ketika masih teruja dengan penglibatan dalam Global Model United Nation, GMUN sekitar 2010 – 2011. 

Lama-lama saya perlahankan rentak, cukuplah memandang dari jauh. Saya juga tidak mahu diri saya menjadi peminat politik yang ekstrim sehingga kelancangan saya dalam mengekspresikan pendapat dan hujah saya menjadi bahan gaduh antara saya dan ahli keluarga, khususnya Abah. Hehe. Orang tua, faham-faham sajalah. 

Namun, memilih untuk sekadar memerhati atau kadangkala membuat analisa dalam diam bukanlah bermakna saya memendekkan akal, menyekat minda dari berkembang. Tidak sama sekali. Mendidik diri menjadi seorang pemikir akan secara tidak langsung menjadikan semua isu yang dibaca, semua perkara yang dilihat, semua hal yang diperkatakan berguna dan memberi pengajaran. Tidak mengapa tidak minat mengulas hal politik, namun belajarlah dari dunia politik. Tidak mengapa tidak mahu menyokong wakil-wakil rakyat yang tertentu, namun belajarlah dari skill yang dia miliki. Tidak mengapa tidak teruja untuk sama-sama turun mencula undi, namun belajarlah mengapa pentingnya ada wakil adil mencula undi. Ya, begitulah. 

Hari ini, kita semua tahu bahawa Parlimen telah dibubarkan. YAB Dato’ Seri PM telahpun mengumumkannya pagi ini. Saya percaya, inilah pengumuman yang ditunggu-tunggu, yang dirindu-rindu ramai orang. Saya kira, Malaysia telah bersedia untuk ‘berperang’ secara bersih dan matang. Saya juga percaya tentang hakikat bahawa permainan politik ini takkan bertemu penamat dan akan terus menipu dan akan terus ada yang tertipu sehinggalah kita semua meninggikan martabat pemikiran kita sehingga pihak berotoriti tiada idea lagi untuk menipu dan tiadalah lagi kita tertipu. 

Bila saya katakana tipu, tidaklah saya tujukan kepada sebelah pihak sahaja. Kerana saya percaya, di pihak mana-mana pun ada strategi tersendiri, ada desakan tersendiri, ada keterpaksaan sendiri yang mengakibatkan mereka terpaksa menipu sedikit sebanyak. Barangkali saya silap, saya mohon diperbetulkan. Namun, inilah ombak politik yang saya percaya sejak pertama kali saya memahami politik itu apa. 

Saya berdoa agar kita semua tabah dalam memperjuangkan ideologi kepartian masing-masing tanpa mencederakan mana-mana hati atau emosi orang lain. Berjuang itu perlu, tetapi tidak semestinya perlu mengorbankan banyak hati dengan caci maki yang tidak berpenghujung. 

Saya percaya, selagi kita bersikap rakus dalam berparti, selagi itu kita akan diperbodohkan oleh mainan politik. 

Maka, ayuhlah kita bersama-sama memilih jalan terbaik untuk matang dan tenang. Kita ada hak untuk mengundi, maka cukuplah dengan menunaikan hak itu. Kita tiada hak untuk mencaci maki dek kelainan parti, kita tiada hak untuk menyindir memerli dek perbezaan ideologi. 

Kita matanglah. 
Kita tenanglah. 
Kita yakinlah. 

Bahawa Allah swt memang akan menguji sebelum Dia beri kita kesenangan, keharmonian dan keamanan berkekalan. 

Di Malaysia kah? 

Mudah-mudahan. 
Jika tidakpun, tunggulah di Syurga nanti! :)

Selamat berpolitik dengan bersih. 
Semoga kita tidak mengutip dosa mencaci maki menyindir memerli di musim mengundi ini. 

Kepada barisan kepimpinan terma yang baru tamat pagi tadi, terima kasih di atas usaha dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia sungguhpun tidak sempurna. Semoga segala kebaikan Allah berikan ganjaran, semoga segala keburukan dan kejahatan Allah ampunkan. 

Wassalam. 

YAB Dato' Seri Najib. 

Ikhlas; 

anakmalaysia 

Tiada ulasan: