Rabu, 27 Oktober 2010

Melayu atau Layu?

"Kak, balik ni tulislah pasal isu Melayu pula di FB. Saya suka!" Itulah pesanan seorang adik, antara bakal pemimpin hebat yang digilapkan di bawah payung MMU. Pesanannya membuatkan hari ini saya mencuri masa untuk menulis. Alhamdulillah, kami diberi kesempatan dan peluang oleh Allah swt untuk menghadiri satu sesi forum dan makan malam bertajuk Perhimpunan Mahasiswa Melayu Melaka anjuran GPMS di Hotel Mahkota dua hari lepas.Forum menarik yang menterbeliakkan mata kami membawa isu panas,"Melayu atau Layu" dimana ahli-ahli panelnya adalah dari kalangan Melayu-melayu hebat. 

Suka benar jiwa saya jika semua warga melayu MMU diperdengarkan dengan forum tersebut. Cerita tidak panas langsung tapi cukup untuk membuka mata. Bahawa Melayu kini berada di tahap yang paling menyedihkan sekali. Daripada sisi ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya. Tapi adakah ini bermakna Melayu tiada guna lagi? Tidak! Jangan silap faham. Melayu ini hebat, cuma terlalu banyak tertidur dalam keuntungan dan kelebihan yang berlipat ganda yang diperoleh daripada Kerajaan Malaysia. Seharusnya kita bersyukur dengan apa yang diberi tapi kesyukuran itu tidak kedengaran. Yang terlihat jelas adalah ekspresi perasaan yang terlalu senang dengan kelebihan, terlalu kenyang dengan keistimewaan, terlalu angkuh dengan pengisytiharan hak.

Kita lupa untuk ucap syukur, kita gagal untuk merancang jauh, kita nafi tanggungjawab kita terhadap generasi hadapan. Kita lalai dalam membentuk jati diri hebat, dalam meninggi nilai diri menjadi bangsa berdaulat. Kenapa saya berkata begini? Adakah kerana saya tidak mengaku saya ini Melayu? Allahuakbar. Sesungguhnya saya bangga menjadi anak Melayu. Anak Melayu yang hebat. Anak Melayu yang tahu nilai budi bahasa dan peradaban seorang Muslim. Tapi sedih hati, merintih jiwa melihat perkembangan generasi muda masa kini. Kita lebih memandang enteng terhadap perjuangan golongan terdahulu. Kita fikir Malaysia hak mutlak kita, sedangkan dalam diam kita biarkan bangsa kita dipandang hina dan ditertawa.

Kenapa hina ditertawa? Mana taknya, bila timbulnya polisi baru MMU, yang sibuk berjuang, mengkritik, mengecam pentadbiran majoritinya Melayu. Tapi kita patutnya malu, dah lah cakap mcm-mcm, kritik bagai nak rak, tapi sekadar menyorok di belakang. Alahai malunya. Tidak cukup dengan itu, bila hendak menentang undang-undang seperti AUKU, yang terhegeh-hegeh minta hak adalah Melayu juga. Sibuknya nak berpolitik padahal result tak cantik mana. Kita tidak sedar, kita sebuk angkat sepanduk, angkat parang kalah askar nak berperang, walhal dalam masa sama bangsa lain relax, hidup tenang study sampai cemerlang. Kita sedapkan hati kita konon-konon kita hebat, darah perwira sebab itu sibuk pertahan hak. Padahal usaha tidak ke mana, jangan kata berjaya, setakat hanya diperdaya.

Kita lihat sekeliling kita, di MMU khususnya. Berapa ramai Melayu yang aktif berpersatuan dan dalam masa sama berjaya menembak tepat keputusan cemerlang? Atau mungkin lebih ramai yang berjaya menaikkan nama melalui aktiviti berpersatuan, tapi malangnya bertahun-tahun sibuk mengulang peperiksaan subjek yang sama? Berapa ramai Melayu MMU yang sedar pentingnya kerusi teratas kepimpinan pelajar untuk dihuni oleh Melayu? Amat sikit jumlahnya. Tapi hebatnya Melayu MMU ini adalah apabila kita kalah kerusi pemimpin, ramai pula Melayu yang turun mengkritik, menyalahkan sesama sendiri bahawa bodohnya mereka yang menyusun strategi berkempen. Kita juga selalu bicara, 'hebatnya si Ah Chong, si Ravi memanjang score dean's list' tapi sedikit pun kita tidak punya rasa untuk dilihat hebat oleh mereka. Kita selalu pasrah bila beroleh keputusan yang tidak hebat mana, walhal pasrah itu muncul sebelum timbulnya usaha. Jadi, bagaimana Melayu kita?

Malulah kita seharusnya mengetahui kebenaran fakta bahawa Melayu tidak lagi berkuasa di MMU. Sedihlah kita bila melihat sahabat-sahabat sebangsa yang sibuk mengejar murahnya harga tiket Ladies Night di kelab-kelab malam. Menangislah kita bila mengetahui teman sebangsa seagama tinggal serumah dengan yang bukan Muhrim. Terduduk, termangu lah kita tanpa bicara melihat sahabat-sahabat hanya lalu sebelah masjid dan surau tanpa singgah walaupun sejenak untuk menunaikan solat fardhu. Jauh sekali untuk melihat masjid dipenuhi dengan aktiviti ceramah dan tadarus al-quran. Jadi, di mana kita sebenarnya? Apa fungsi setiap satu daripada kita?

Bangkitlah Melayu walaupun terpaksa merangkat berdikit-dikit demi memartabatkan bangsa dan agama. Cukup-cukup lah kita memandang hebat, mengagumi kejayaan si Ah Chong dan Si Ravi. Dah tiba masa kita bangkit, buktikan kehebatan, terbeliakkan mata mereka. Kita tidak perlu bertindak mengangkat pedang semata-mata untuk buat bangsa lain tunduk kepada kita. Itu bukan caranya. Ilmu perlu dicari, dada harus dipenuhi. Berjuang lah dengan cara menaikkan value diri, kerana kita tidak ada yang kurang dari mereka. Kita sentiasa ada Allah di sisi sedangkan mereka hanya ada diri mereka. Jadi apa yang kurang tentang kita? Sebenarnya tidak ada yang kurang. Cuma kita terlebih alpa, terlebih bangga dan terlebih lalai dengan tanggungjawab kita. Kita lupa nikmat, keistimewaan yang kita miliki semua adalah hak Allah. Kita lupa bahawa andai kita tidur dalam usaha, Allah bisa menariknya semula. Dan jika semuanya terlepas dari tangan kita, garu kepala berjemaah pun sudah tiada guna.

Wallahualam

2 ulasan:

Mr Yadayada berkata...

FANTASTIC WRITING FROM YOU!

Gadis Najlaa berkata...

Thanks a lot Mr. Yadayada! ;)