Jumaat, 29 Jun 2012

Legal Aid - Kongsi Pengalaman

Saya selalu meyakinkan diri bahawa saya tidak perlu untuk berada dalam golongan 'practitioner' di dalam bidang undang-undang ini. Barangkali kerana saya muak dengan isu saman menyaman kerana, wang, harta dan nama. Khususnya dalam hal Sivil. Bosannya, hanya Allah swt saja yang tahu.

Perasaan dan pandangan ini selalu saya kongsikan dengan seorang teman seperjuangan di dalam bidang sama. Hebat, dia juga merasakan perkara dan perasaan sama. Namun, semenjak dua menjak kami memulakan tugasan 'Legal Aid' atau 'Bantuan Guaman' kami, kami mula perlahan-lahan membuka mata. Malah dia sendiri berkata kepada saya; "sekarang saya tahu kenapa kita di sini, dalam bidang ini, hari ini. Kerana legal field ini memerlukan kita, Fateen.."

Berapa ramai antara kita yang berazam untuk belajar bersungguh-sungguh, bekerja yang bagus-bagus, dapatkan gaji yang lumayan dan mewah, mendirikan tangga yang grand-grand dan the list goes on. Sehingga kita terlupa, di ruang mana dapat kita selitkan sedikit sumbangan kepada masyarakat, kan? Ramai antara kita berfikiran, andai aku dapat sediakan segalanya untuk anak-anak dan isteri aku (keluarga seluruhnya), pasti mereka akan senang dan bahagia, dan aku juga senang jiwa. 

Tetapi ada tak kita fikir bahawa kesenangan dan kemewahan yang kita beri belum tentu menjamin kebahagiaan kita dan mereka sebenarnya. Kita mungkin mampu menyediakan segala-galanya tetapi kita terlupa bahawa dunia di luar sana terlalu menduga dan menggoda sehinggakan anak-anak kita nanti, andai tidak kuat jiwanya boleh tersungkur ke dalam lembah hina. Jangan sehingga waktu itu tiba, kita mula menggaru kepala dan bertanya kepada diri sendiri; "masa aku senang, kaya, apa aku buat untuk bantu masyarakat?"

Legal Aid - Kongsi Pengalaman

Berkongi sedikit pengalaman dalam menjalani Bantuan Guaman, Selasa lalu saya tidak ke Penjara tetapi menjalankan follow-up untuk kes-kes yang diambil minggu sebelum itu. Tidak banyak yang dilakukan, setakat menghubungi keluarga tertuduh sekiranya diminta melakukannya. 

Saya sempat menyediakan senarai nama pesalah yang memerlukan khidmat bantuan guaman yang kemudiannya perlu dipanjangkan kepada pihak-pihak yang berkenaan. Ini saya perlu jelaskan bahawa, dalam 35 senarai nama, saya boleh kata bahawa 32 daripadanya adalah Melayu dan selebihnya India. Setakat ini saya masih belum menjumpai pesalah warga Cina. Malah jika dilihat ketika di penjara sekalipun, saya yakin statistik menunjukkan kaum Melayu memonopoli kehidupan 'serba indah' di penjara dan diikuti kaum India dan kaum Cina. 

Ini menjadikan saya dan sahabat tertanya-tanya, 'di mana silapnya?'.

Sahabat saya yang menjalani program 'Dock Brief' di Mahkamah sempat berkongsi pengalamannya dengan saya. Yang paling menambat hati dan jiwa adalah perihal pesalah muda atau bawah umur. Kebanyakan kes rogol yang dilaporkan yang mana tertuduh adalah golongan muda-mudi, muda remaja, sebenarnya bukanlah rogol tanpa rela. Saya tekankan, kebanyakan. Bukan semua. 

Eh, kalau rela, macam mana boleh jadi rogol?
Ya, ini perlunya pengetahuan am. Sekiranya si perempuan berusia 16 tahun dan ke bawah, sama ada dia rela atau terpaksa, hubungan seks yang berjalan ini dinamakan rogol. Statutory rape. 

Kebanyakan remaja kita si jejaka yang dituduh melakukan rogol menjadi mangsa pasangan suka-sama-suka sendiri. Setelah sudah sama-sama syok, terkantoi pula kerana ibu bapa dapat tahu, maka untuk menutup aib, ibu bapa membuat laporan polis menyatakan anaknya dirogol dan nah, bila anaknya sah-sah di bawah umur, 'all the best' lah untuk teman si anak yang sama-sama seronok berkongsi katil. 

Adil? No comment.

Saya tak masuk dalam-dalam pun.

Sahabat saya sempat berkongsi juga satu adegan lawak yang terjadi di Mahkamah. Seorang remaja lelaki 17 tahun di tuduh merogol kekasihnya yang berusia 16 tahun. Sikit lebih kurang seperti situasi yang saya jelaskan di atas. Remaja lelaki ini telah membuatkan gadis 16 tahun ini mengandung anak luar nikah. Yang menyedihkan, remaja lelaki ini pernah membuatkan seorang gadis lain mengandung anak luar nikah sebelum kes ini. Bila nak insaf, agaknya? 

Yang membuatkan saya tergelak kecil apabila sahabat saya berkata, remaja lelaki ini sempat berusaha menjelaskan kepada Court's Interpreter bahawa; "Kak, masa saya main dengan dia hari tu, saya tak masuk dalam-dalam pun.".

Garu kepala kita dibuatnya, kan? Apa yang cuba disampaikan? Stress saya dibuatnya.

Seronok pula berkongsi cerita. Mari saya kongsikan satu cerita lagi. 


Saya dengar Abu dan Ina tengah 'main'.

Satu hari ketika saya membelek-belek Kertas Temuduga pesalah di penjara, saya sempat membaca beberapa fakta kes yang saya fikirkan menarik dan baik untuk mengetuk minda tentang bahayanya penyakit sosial kita waktu ini. 

Seorang pesalah muda memberi keterangan kepada salah seorang rakan sekerja saya. Sikit lebih kurang begini:
"Malam tu saya tengah lepak kat rumah Abu. Lepas tu Abu balik naik motor bawak Ina sekali. Tak lama lepas tu kitorang [saya, Abu dan Ina] masuk bilik tidur Abu. Lepas lebih kurang 10 minit dalam bilik tidur, Abu tutup lampu. Bilik gelap. Tak lama lepas tu handphone saya berbunyi, handphone saya bercahaya. Masa tu saya nampak Abu dengan Ina dah bogel. Lepas tu saya dengar Abu dengan Ina tengah 'main'. Lepas main tu Abu bangun, saya sound Ina saya cakap, "Aku takkan bertanggungjawab dengan apa yang terjadi antara kau dengan Abu!". Tak lama lepas tu kitorang hantar Ina balik rumah dia." [semua watak bukan nama sebenar]

Well, bila baca fakta kes memang rasa macam nonsense gila, tapi perkara sebegini berlaku. Remaja yang dituduh tersebut ditangkap sekali kerana dipercayai melakukan perkara sama ketika dia melaporkan kejadian tersebut di balai polis. Akibat diragui ke-innocent-an nya, maka pihak polis menahannya sekali.
Contoh 1: Sumber google
Contoh 2: Sumber google
Contoh 3: Sumber google

Saya menulis entry ini bukan untuk bersifat lucah. Jauh sekali untuk menyebarkan keindahan seks, tidak. Itu bukan tujuannya. Saya berkongsi cerita dan pengalaman agar sama-sama kita mendapat pedoman dan sedar bahawa masyarakat memerlukan kita yang sedar untuk melakukan sesuatu. Kalau tidak mampu dengan tangan, mungkin dengan wang ringgit, kalau tidak mampu juga, mungkin dengan doa.

Kita perlu lakukan sesuatu hari ini supaya kelak anak-anak kita tidak terkandas di dalam fenomena 'seram' yang sama seperti anak-anak muda yang tersangkut di dalam penjara hari ini. 

Dunia ini cukup adil. Kalau kita berusaha, kita diberi habuannya. Kalau kita lupa, kita pasti 'diingatkan' Dia. Saya tak mahu kita sudah terhantuk baru terngadah.

We got to do something, aren't we? 

Wassalam

Rabu, 20 Jun 2012

Di sebalik penjara.


Kitab untuk 14 hari Legal Aid Duty

Alhamdulillah, minggu pertama Legal Aid Duty saya telah selamat dijalani dengan sungguh ohsem sekali. Sukar untuk diceritakan dengan kata-kata tapi akan diusahakan juga. Dengan tujuan; untuk memeriahkan blog sendiri dan untuk berkongsi pedoman bersama.

Saya tak mampu nak ceritakan secara details sebab otak saya sendiri memang tak tahan karat, terlalu cepat berkarat. Tapi personally, ini pengalaman baru untuk saya dan juga rakan-rakan lain. Alhamdulillah saya rasa saya tidak salah dalam memilih tugasan ini dalam banyak-banyak pilihan lain yang ada. This is what I want to hear and see. 

Tugasan kami tak lah sesukar mana. Sekadar menemuduga pesalah/tertuduh, tanya sama ada mahukan khidmat bantuan guaman, tanya sama ada mahu mengaku bersalah atau minta dibicarakan, etc etc. Mendapatkan maklumat bukan perkara sukar. Yang sukarnya ialah berperang dengan emosi sendiri dalam berhadapan dengan mereka. Kepala botak, muka bengis atau hati kering, tangan bergari, berpakaian seragam banduan, etc etc. Cabaran, bukan?

Selama ini hanya lihat dalam TV, kali ini berhadapan secara sendiri. Sungguh ini satu nikmat kehidupan buat saya.

Penjara Sg. Buloh  - Selasa, 19 Jun 2012.


Pertama kali melangkah kaki memasuki penjara, rasa macam, 'eh, betul ke ni?'. Tapi belum suspen lagi masa tu, kira cool lagi lah. Mujur saya ada Shahira, (rakan sekelas selama 5 tahun di MMU) sebagai teman untuk berborak sakan. Masuk je pintu besi, perkara pertama sekali yang berbeza ialah, bau. Ya, bau nya berbeza. Bau hapak, masam. Walaupun itu bukan kawasan banduan tinggal. Itu hanya kawasan bilik-bilik pegawai. Tapi memandangkan itu adalah laluan keluar masuk, maka mungkin bau itu tak dapat lari. 
Shahira peace sebelum masuk pintu besi pertama.
Kemudian, barang-barang perlu disimpan dalam locker. As usual, no handphone, no benda-benda tajam dan seangkatan dengannya. Selepas dilakukan body checking ke atas kami, so kami melalui satu lagi pintu besi. Melalui pintu besi kedua baru terasa dup dap dup dap. Shahira pun bersuara, 'Mek, aku nervous dohh!'. Ya, saya pun mengangguk dan bersetuju lalu berkata, 'cuak weh..'.

Tapi, menjadi seorang yang profesional, kita perlulah berlagak profesional. Apabila lalu di hadapan ruang menunggu untuk banduan, melihat rata-rata rambut sama botak, uniform sama, malah selipar pun sama, dan pada masa itu muka rasa kebas. Nak senyum ke nak buat muka apa ni?hehe.

So basically di Penjara Sg. Buloh kami interview tertuduh-tertuduh di ruang kantin yang mana tidak seperti di dalam drama TV. Setiap seorang daripada kami diberi seorang klien pada satu masa. Means, it's one to one communication. Tiada cermin, tiada gagang telefon seperti di dalam drama. Hanya ada kerusi yang kami duduki, meja kantin dan diri-diri kami. Banduan tangan di gari, kami tangan memegang pen. Dan kawalan ketat daripada warden penjara, seperti di dalam drama TV. 

Kerjasama mereka baik. Jangan tanya mereka berdosa atau tidak, pada saya itu bukan tugas kita untuk menjatuh hukum. Cukuplah kita belajar daripada kisah kehidupan mereka. 

Klien yg sempat saya interview di Sg Buloh ada 2 orang. 1; kesalahan samun. Seorang bapa, mempunyai 3 orang anak yang mana semuanya bersekolah. Sebelum ini mempunyai sejarah memasuki Simpang Renggam atas kesalahan sama. Jadi, apa komen anda? 

2; seorang bapa berusia tua setahun daripada saya. Tetapi telah bercerai. Mempunyai ibu yang menghidapi penyakit jantung yang mana sepanjang tertuduh ditahan, ibu yang sakit ini menjaga anaknya. Kesalahan; bersubahat dalam memiliki barang curi. Ditangkap setelah baru 3 hari bebas dari Penjara Kajang. Apa komen anda?

Saya taknak cerita pasal klien saya tapi saya nak cerita tentang environment di dalam sana yang pada saya lebih menginsafkan. Ketika masuk ke dalam pintu yang mendekatkan kami dengan para banduan, saya sebagai seorang observer yang rakus memandang ke kiri dan kanan. Maka saya melihat banduan yang cuba menakal dengan mem-'fewwit-fewwit' kami di tengking oleh warden penjara di sebelah kanan laluan kami dan saya melihat banduan-banduan tua yang saya fikir lebih kurang usia Abah saya sedang menghadiri Kuliah Agama di satu ruang yang berbeza. Maka saya tersentuh. Aduhai, apalah nasib pakcik-pakcik ini menghabiskan usia di tempat sebegini. Apa agaknya salah mereka dulu, ya?

Selepas selesai tugasan kami, kami diberi makan tengahari di ruang kantin yang sama. Yang serve makanan kami adalah juga banduan, pada hemah saya yang diberi kepercayaan untuk menguruskan dapur. Nampak nur di wajah mereka, senyuman manis, dahi bertanda. Benar, tanda di dahi bukan bukti kuatnya iman seseorang. Tapi setidak-tidaknya, sejuk mata memandang mereka. Mungkin tempat mereka dilihat hina oleh kita, namun di sisi Allah, kita tak tahu, kan? Kerana pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk kita. 

Penjara Kajang - Rabu, 20 Jun 2012.

Untuk sepanjang Legal Aid, schedule untuk kami ke Penjara Kajang hanya 2 kali setiap seorang. Pergerakan mengikut jadual yang disusun. Kalau di Penjara Sg. Buloh, kami 25 orang akan bergerak dan menjalankan tugas sekali. Tapi untuk Penjara Kajang, susunannya hanya 6-7 orang setiap kumpulan. Berbeza kali ini kerana di Penjara Kajang, pesalah-pesalah adalah Young Offenders dan juga Wanita. Bukan seperti di Penjara Sg. Buloh, untuk kes-kes yang kami uruskan.
Pintu besi. Silalah masuk kalau sudi.
Pagi tadi, semasa kami menunggu di luar pintu besi, kami ber-enam seperti berlegar-legar diruangan petak kuning (seperti di dalam gambar di atas). Kemudian keluar seorang pegawai penjara berkata, 'minta tepi sikit dik. Bas nak parking sini, nak bawa banduan gantung'. Saya seperti, 'what?? gantung?? maksudnya apa?'

Lalu bas tersebut parking dan pintu besi dibuka dan keluarlah beberapa orang banduan, tangan bergari bersama pegawai penjara menaiki bas. Muka memang ranggi habis. Bengislah senang cerita. Tapi saya berdiri sebelah pokok buat gaya relax macam tak ada apa-apa. Padahal dalam kepala ni fikir macam-macam. Saya bukan fikir, 'eh diorang boleh serang aku ni!'. Bukan! Bukan! Saya fikir, 'apa yang mereka buat sampai dapat hukuman gantung? bunuh? bunuh siapa?. Habis family mereka bagaimana?'.

Ok, bila masuk pintu besi, again the same smell is there. Walaupun penjara lain-lain, bau tetap sama. Saya labelkan ia sebagai 'the smell of prison'. And then the same procedure we gone through except for today tiada body checking untuk kami yang perempuan kerana tiada pegawai wanita yang bertugas tadi kelihatan. hehe. 

This time, environment tempat kami temuduga berbeza. Sedikit seperti dalam drama TV. Ada cubical, ada cermin yang memisahkan kami dan tertuduh tapi tiada gagang telepon seperti dalam drama.hehe. Cuma, tangan mereka tak bergari. Rambut mereka tetap sama botak, baju mereka, selipar mereka seragam. Itu berdasarkan pemerhatian saya. Sefahaman saya, mereka pesalah Juvana/Young Offenders yang mungkin kurang kecenderungan untuk lari dan mencederakan. Tambah lagi ada yang belum ke mahkamah untuk bicara. Baru sampai tahap sebutan. Fresh.

Sebab jiwa saya lebih tersentuh dan teruja bila berkisarkan tentang juvana, remaja, anak-anak, maka kali ini saya kongsikan kisah klien-klien saya.

Klien 1.

Saya: Assalamualaikum. Sihat?
Dia: Wa'alaikumsalam. Alhamdulillah, sihat. *Sambil senyum manis*
Saya: Umur berapa ya?
Dia: 20 tahun, kak. 

Dan komunikasi dua hala diteruskan untuk 30minit. Antara part yang menyentuh hati saya:

Saya: Tahap pendidikan, dik? (Sebab saya kena isi maklumat dalam borang)
Dia: Saya sekarang tengah study TESL kak di U**. 
Saya: *Aduhai, kenapalah kau kat sini (dalam hati)*
Dia: Kak,.. kalau saya kat sini, kena buang U** ke? (Mata dia mula berkaca). Kak, kalau boleh saya taknaklah kena buang. Saya tak salah, kak. Saya tak tahu apa-apa pun pasal dadah tu. 
Saya: Sekarang ni Uni adik tengah cuti ke? Pihak U dah tahu ke?
Dia: Tak tahu lagi kot. Mak saya kata, dia cuba bincang dengan IO, kalau boleh minta kerjasama jangan maklum pada pihak U**. 
Saya: Ok, bagus. Kawan ada yang tahu?
Dia: Tak. Saya taknak bagitahu.

~Bla. bla. bla. Malas nak cerita panjang lebar~

Saya pendekkan kisahnya, saya taknak komen dia bersalah ataupun tidak. Cuma nak kata, nasib tak menyebelahi dia. Yang sedihnya, ayah dia baru meninggal bulan 5 hari tu, masa tu dia dah ambil cuti lama. Kemudian kakinya retak, cuti lama lagi. Kemudian di kembali ke U**, baru masuk balik kelas 2 hari. Kemudian kawan call ajak lepak, hang out, dia pergi. Sempat lepak di hotel yang abang kepada kawannya check-in. Just before check-out, bilik hotel kena serbu, polis geledah hotel, jumpa ganja bawah tilam. Maka, tersangkutlah dia sekali. 

Mari kita fikir sama, apa agaknya perasaan ibunya apabila dihubungi memaklumkan anaknya kini ditahan kerana ditangkap bersama dengan dadah? Mampukah ibunya merawat luka dihati sendiri, dahlah baru kehilangan suami, tambah pula dengan kesilapan anak? Mana ada ibu yang senang hati melihat anak dibalik jeriji besi walau jahat sekali pun anak itu. Kan? 

Mari fikir juga, andai kata dia dibuang Universiti, adakah dia kuat berhadapan dengan situasi? Kalau kita di tempat dia, bagaimana? Dalam hal ini, siapa yang nak dipersalahkan? Salah ibu mengandung? Salah ayah yang buat ibu mengandung? Atau salah diri sendiri? Atau salah rakan yang mengajak keluar? Atau takdir yang dipersalahkan? 

Klien 2.

Saya: Umur berapa dik?
Dia: 20 tahun.
Saya: Kesalahan apa?
Dia: 395, kak.
Saya: *belek Penal Code. amaturlah katakan*
Saya: Samun?
Dia: Ha'ah.

Bla.bla.bla.

Saya: Mak kerja apa?
Dia: Mak saya ajar budak mengaji.
Saya: Telan air liur. 

Bla.bla.bla.

Saya: So nanti nak mengaku salah ke nak minta bicara?
Dia: Saya tak tahulah kak. Mana yang lebih baik?
Saya: Kalau mengaku salah, kita boleh mitigate minta hukuman diringankan. Kalau nak minta bicara pun boleh sebab adik kata, yang buat tu kawan adik, adik bawak motor je, dan polis tak buat kawad cam tu semua, barang kes pun tak de dengan adik.. Tapi kita tak boleh jamin berapa lama kes boleh settle. Satu lagi kalau adik tak mengaku bersalah, minta bicara dan kemudian mahkamah putuskan adik bersalah, hukuman tu payah nak ringan, dik. 
Dia: Mak saya, abang saya semua kata jangan mengaku bersalah. Sebab saya tak buat. Saya bawa motor je. Tapi saya tak tahulah kak. Mana yang lebih cepat, itulah saya nak. Kepala dah sakit duduk lama-lama dalam ni, kak. 
*masa kau nak bawa motor tu kepala kau sakit tak dik?* hehe

Part yang syahdu.

Saya: Adik ada apa-apa lagi ke nak cakap, nak minta dimaklumkan apa-apa kepada keluarga?
Dia: Saya minta tolong akak call Mak saya, boleh tak? Minta bagitahu dia, saya minta dia datang melawat, saya nak tahu perkembangan keluarga. Saya tak tahu apa-apa sekarang ni, kak.
Saya: *Telan air liur lagi. Syahdu. Sayang rupanya dia kat family, kan?*
Saya: Ok, akak take note kat sini. Nanti kita cuba hubungi keluarga adik. Sabar sikit ya duduk sini. 
Dia:  Ok, terima kasih kak.

Klien 3.

Saya: Umur dik?
Dia: 18 tahun.
Saya: Kesalahan apa dik?
Dia: Pecah rumah.

*Sebenarnya bukan pecah rumah sangat pun. Curi tong gas kosong sebanyak 6 buah di rumah sewa sendiri. 1 tong gas dijual dengan harga RM35. RM35x6 = RM210.

bla.bla.bla.

Key factor pada hemah saya:

Satu.
Saya: Tahap pendidikan dik?
Dia: Tingkatan 2.
Dalam hati saya berkata, 'zaman sekarang pun ada orang tak kisah tak sekolahkan anak sampai habis ke? duduk KL pulak tu, wehh!'.

Dua.
Saya: Keadaan keluarga adik macam mana? ok? (Ruangan dalam borang, miskin, sederhana, ibu bapa bercerai)
Dia: Mak ayah bercerai, tapi tak tahu ayah hilang lari ke mana. Saya ada bapa tiri.  

*Sebab itu dalam Islam, bapa penting sebagai ketua keluarga, sebagai Imam. Bila bapa tiada, beginilah kesannya.*

Saya: Ini kesalahan pertama atau ada kes sebelum ni?
Dia: Sebelum ni pernah didakwa kesalahan pasal guna senjata masa saya Form 2 tapi saya lepas, mahkamah kata saya tak salah.

Ok, mari fikir. Salah ke tak tu belakang cite, tapi apa kau buat dik sampai kau boleh main dengan senjata segala bagai? Kalau akak diknon, akak main lawan pemadam je kat sekolah. Main rebut tiang masa rehat, main kredit kad (raba bontot kawan), main pijak-pijak kasut kawan. Paling kuat pun akak bercinta monyet lah. Itulah. Kau main senjata? Alahai.

Lepas tu, berbaloi tak kau rembat barang nilai RM210 yang sehari kau boleh habiskan (nak bagitahu betapa sikitnya nilai), kemudian kau sangkut dalam ni tak tahu berapa lama. Mahkamah bagi ikat jamin pun family tak mampu bayar, minta kurang lagi. Habis camno?

Pengalaman lain.

Selepas keluar bertemu young offenders, kami menunggu di luar penjara wanita pula untuk menemuduga banduan wanita. Menunggu bukan main lama, lepas tu tak jadi, lepas tu balik.

Sebelum tu, saya nak cerita apa yang saya nampak. Kebetulan semasa menunggu di bawah panas terik tu, bas penjara pun tiba. Banduan wanita ramai turun dari bas (baru balik daripada Hospital) dengan tangan bergari bersama warden penjara wanita. Perkara pertama saya terpandang; "oh my God. there's a lady with a baby!". Itu perkara pertama saya terpandang dan terus saya sampaikan kepada kawan-kawan lain. Anak comel pula tu. Hancur luluh hati saya. 

Masa masing-masing turun dari bas, ambik kau. Saya nampak tidak kurang daripada 3 orang wanita yang menggendong bayi. Seorang dua daripadanya seperti masih dalam pantang atau mungkin baru habis pantang. 

Kita sama-sama fikirlah, agak-agaknya bila anak-anak itu membesar nanti, marah tak dia bila mendapat tahu bahawa tahun-tahun awal kelahiran dan kehidupannya, dia membesar di dalam penjara, di sebalik jeriji dan tembok tinggi 4 meter?

Saya tertanya-tanya, apalah salah ibu-ibu ini ya? Apakah nasib anak-anak itu nanti?

Penutup.

Lalu kita perlu tanya diri kita, apa fungsi kita untuk masyarakat dan dunia? Kita lawyer, kita doktor, kita engineer, kita money-maker tapi apa sumbangan kita?

Kalau tak ada, elok kita tekup muka, dan letak kepala dalam jamban dan pam.

Sebab kita dan najis tiada beza. Memalukan saja. 

Wallahualam.
Wassalam