Rabu, 18 Julai 2012

Kerja, kerja, kerja! Bila masa untuk agama?


Saya teringat, seorang sahabat pernah meminta saya untuk menulis di blog ini tentang bagaimana untuk membahagikan masa dgn seimbang apabila telah mula sibuk dengan dunia kerja. Makna kata, kerja sibuk balik lambat, mana nak kejar waktu bersama keluarga, dan paling merunsingkan juga hal hubungan kita dgn Allah swt. Mana nak kejar solat sunat dan mengaji al Quran secara konsisten kan kalau solat fardhu pun cilok-cilok serupa koboi!.

Pastinya saya mengambil masa yang agak lama utk menulis perihal ini. Kerana memang saya bukan orang yg layak, bukan alim ulama, bukan pelajar lulusan Al-Azhar, bukan juga calon Ustazah Pilihan. Jauh sekali.

Jadi, saya memilih untuk berkongsi pendapat secara general. Agar tiada kesilapan dalam soal agama dari pihak saya.

Perlu diingatkan, seseorang itu apabila berbicara, pastinya dia hanya mampu berbicara dari lingkungan ilmu yang dia miliki. Kalau salah, sila betulkan.

Saya baru memasuki alam pekerjaan setengah tahun lalu. Pastinya bukanlah pekerjaan yg berposisi besar, cukuplah sekadar kais pagi makan tengahari, kais petang makan malam. Hehe. Tetapi jelaslah bahawa bekerja ini bukanlah perkara mudah terutamanya dalam pembahagian masa.


Cemerlang Di Mana Saja

Saya pernah mendengar motivasi melalui radio IKIM yang mana, dikatakan bahawa sekiranya seseorang itu berjaya/cemerlang, dia pasti cemerlang di mana saja. Di rumah, dia cemerlang sebagai anak, ibu, suami, isteri atau bapa; di tempat kerja dia cemerlang sebagai pekerja yg berdisiplin, berdedikasi dan amanah, dan di dalam masyarakat dia juga seorang yang prihatin dan mengambil berat tentang persekitarannya dan paling penting jika kita cemerlang di hadapan manusia, pastinya kita perlu lebih cemerlang di hadapan Allah swt.

Jadi kalau kita bagus bekerja, masuk ofis jam 8 pagi, keluar ofis jam 12 malam, kerja dipastikan beres, klien semua berpuas hati, bisnes melimpah ruah datang membanjiri, adakah kita sudah cukup cemerlang?


Hubungan dengan keluarga

Bagaimana pula dengan hubungan kita dengan keluarga? Pagi-pagi ibu siapkan makanan, selepas makan pergi kerja, tengah malam balik rumah buka lampu dapur, buka saji, makan. Lepas kenyang bercampur letih, kita ambil keputusan untuk tidur dan rutin sama berulang untuk esok, lusa, tulat, minggu depan, bulan depan, tahun depan, dan seterusnya.

Ayuh tanya diri kita; agak-agaknya ibu bapa kita itu patung atau manusia berperasaan? Agak-agaknya mereka rindu atau tidak dengan saat-saat indah kita berborak, bergurau senda sambil menonton tv dan minum teh bersama dan paling dirindui; berjemaah bersama?

Kalau di dalam rumah yg kita diami itu ada adik-beradik lain, ok lah juga. Sekiranya tidak? Memang berdosa benar kita membiarkan ibu bapa kita rindu dengan masa kita untuk dihabiskan bersama mereka. Kita tanya diri kita, adakah kita berlaku adil?

Kredit

Hablumminallah

On top of all, perkara yang paling penting ialah hubungan kita dengan Allah swt. Apa guna kita nampak hebat di mana manusia andai di mata Allah kita hampeh-hampeh saja, kan?

Kita belajar tentang Alif Ba Ta, kita belajar Iqra' dan seterusnya Muqaddam dan setelah itu kita berkejar-kejaran untuk memulakan mengaji Al Quran. Tamat 30 Juzu' kita menunggu-nunggu ayah dan ibu kita mengadakan majlis khatam al Quran di atas kejayaan kita. Masa itu kita bangga, kita gembira tak terkira. Ayah ibu juga bangga. Kata mereka di dalam hati; "Alhamdulillah. Syukur Ya Allah kerana anakku kini telah tamat mengkhatam al Quran Mu, ya Allah".

Namun.

Semakin kita besar, kita semakin melupakan kegembiraan dan keterujaan yg pernah kita cipta dan lalui kecil-kecil dahulu.

Kita sibuk belajar di Uni, kita terlalu sibuk berprogram sehingga kita tak ada masa untuk menyulam cinta dengan Tuhan yang mencipta kita dan yang paling berhak menerima cinta kita.

Kita sibuk mengejar tuntutan kerjaya, sehingga kita lupa pentingnya untuk mengamalkan al Quran setiap hari sedangkan kita tahu akan hakikat bahawa kitab suci itulah peneman sejati.

Kita sibuk memenuhi redha manusia, kita khusyu' mengharap kita dilihat sempurna di mata semua sedangkan kita memandang sepi redha Allah walhal itulah yang paling utama, yang menjadi bekalan ke Syurga.

Lalu kita biarkan kita hanyut dek seronoknya menjadi manusia berjaya di mata manusia, tangga demi tangga jaya kita daki tetapi akhirnya hati kita tetap sepi.

Kita buntu kenapa hati kita resah dan gelisah. Kita keliru kenapa kita punyai semuanya tapi kita tak pernah rasa cukup. Kita berlumba sesama kita sehingga kita tak nampak di mana garisan penamatnya. Rupa-rupanya kita tak sedar bahawa kita tertipu dengan mainan dunia.

Dunia memang indah. Seperti bunga yang mekar kembangnya, harum baunya, dipuja semua. Lebih-lebih lagi bila kita punya rupa, kita ada gaya, kita miliki kerjaya, kita hebat di mata manusia, orang kata kita punya segalanya lantas kita lekatkan dunia di hati dan di jiwa kita. Sedangkan agama mengajar kita cukuplah sekadar hal dunia di letak di tangan. Bukan di hati.

Namun kita juga perlu sedar bahawa bunga yang mekar kembangnya, harum baunya itu, bersifat sementara. Kita tertipu dengan cantik dan indahnya yang bersifat sementara. Esok lusa ia layu, kita pandang tak sudi, bau lagilah tak ingin.


Cuba perlahan-lahan, dakap jadikan teman.

Jadi apa kata kita sedarkan diri sendiri sebelum terlambat. Memang seronok berjaya dan capai semuanya, tapi lebih seronok jika kita berjalan seiring dengan kejayaan kita di mata Dia.

Kita masih boleh ubah sebelum terlambat. Kita boleh cuba limitkan waktu kerja di pejabat, limitkan masa berprogram, dan limitkan masa untuk hiburan. Sebab seharusnya kita yang menguruskan keadaan, bukan keadaan yang menguruskan kita.

Perlahan-lahan kita cuba dan yakinlah bahawa tiada apa yang mustahil. Memang letih balik dari kerja, sehari suntuk menghadap komputer dan segala jenis dokumen yang memeningkan kepala, tambah pula kita punyai bos yang banyak karenahnya. Tetapi kalau kita tidak mencuba untuk membuat perubahan untuk bertatih-tatih jadikan al Quran sebagai teman, sampai bila-bila pun kita tak akan berjaya.

Cukupkah kalau kita sekadar menumpang rasa kagum melihat indahnya akhlak orang, melihat hebatnya semangat orang dalam mendekati Allah swt?. Kita tengok orang yang amalannya terjaga, kita kata ‘sejuk mata memandang, kan? Untungnya siapa dapat jadi suami dia..’. Bila pula kita nak menjadi seperti dia yang kita puja?

Jadi secara kesimpulannya, mari kita usahakan perlahan-lahan. Tambah-tambah lagi Ramadhan sudah terlalu dekat. 2 hari sahaja lagi. Ambil kesempatan ini untuk menjadi hamba cinta kepada Allah swt.

Kita cuba buat perkara simple dahulu seperti:
  • Bangun pagi, Solat Subuh seperti biasa.
  • Selepas siap ke tempat kerja, curi masa 5 minit untuk Solat Sunat Dhuha
  • Dalam perjalanan pergi kerja, curi masa baca al-Maathurat. Kalau memandu kereta, mungkin boleh ambil inisiatif membeli CD zikir-zikir al-Maathurat dan boleh baca seiringan. Kalau naik LRT, sambil berdiri peluk tiang boleh baca. Jangan risau kalau orang kata kita gila, mulut terkumat-kamit. Yang penting Allah sayang kita. 
  •  
  • Sampai ofis, bekerja seperti biasa. Kerja itu amanah. Solat Zohor dan Asar juga seperti biasa. 
  • Kalau ada masa selepas Solat Asar, baca al-Maathurat sekali lagi untuk doa petang. Sekiranya tidak, boleh curi kesempatan semasa perjalanan pulang dari kerja. Sama seperti konsep di sebelah pagi. 
  • Balik rumah, santai bersama keluarga. Berborak, berkongsi cerita, apa saja, terpulang. Masa dengan keluarga diisi di sini. 
  • Sebelum solat Maghrib, bersihkan diri kasi segar. Kemudian solat Maghrib
  • Selepas solat Maghrib, jangan terus tengok TV walaupun macam-macam rancangan menarik menguji diri. Cuba buka al-Quran, mengaji satu muka buat permulaan. Biar sikit-sikit janji konsisten. Selepas mengaji, tunggu sebentar azan Isya’. Kemudian terus solat Isya’
  • Selepas selesai, boleh lah enjoy bersama keluarga. Tengok TV ke, makan Twisties ke, pergi lepak minum ke, apa-apa saja. Asalkan yang atas-atas tu selesai sudah. 

Eh, macam poyo gila menulis bajet alim lettew!

Memang tak alim pun. Ilmu pun seciput cuma. Menulis di atas untuk mencabar diri sendiri. Kalau ada formula lebih baik, boleh lah kongsikan dan selamat mencuba untuk kita semua!

Wallahualam.

Wassalam

2 ulasan:

aminzulkifli berkata...

good post. bagus juga post macam ni. sekurang kurang nya boleh menimbulkan kesedaran buat encik encik dan cik cik mahupun puan puan yang bekerja di luar sana. keep it up kak fateen! :)

p/s: pop up dekat sebelah kanan dekat scroll bar tu menyebabkan saya susah nak skrol menggunakan skrol bar. -.-

Najlaa berkata...

jangan lah marah pop up tu.hehe. semoga kita sama-sama berjuang untuk menambah baikkan diri. amin!